MiACES 2022 mampu jana lebih RM300 bilion nilai eksport - PM Ismail Sabri | DagangNews Skip to main content

MiACES 2022 mampu jana lebih RM300 bilion nilai eksport - PM Ismail Sabri

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Julai - Kerajaan menyasarkan Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MiACES) 2022 mampu menjana lebih RM300 bilion nilai eksport, sekali gus menjadi platfom terbaik untuk penggiat industri agrikomoditi tempatan mengembangkan eksport produk ke pasaran baharu.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana ekspo itu juga akan dihadiri oleh pengeluar hasil, inovator, pelaburan serta pengeksport dan pengimport hingga kepada penggubal dasar, penyelidik dan ahli akademik dari 39 buah negara.

 

Beliau turut yakin MIACES 2022 juga merupakan langkah progresif menghubungkan penggiat industri kepada solusi yang inovatif, sekali gus menyumbang ke arah pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

 

"MiACES 2022 mampu menjadi platform terbaik untuk mempromosikan produk-produk dan teknologi berkaitan industri sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada dan kenaf di peringkat antarabangsa.

 

"Sektor Agrikomoditi menyediakan peluang pekerjaan kepada hampir 1 juta Keluarga Malaysia di peringkat huluan, meningkatkan taraf hidup dan pendapatan rakyat terutamanya pekebun kecil dan masyarakat di luar bandar sejak berdekad yang lalu.

 

"Kerajaan sangat komited dalam usaha memacu pembangunan sektor agrikomoditi agar lebih kukuh, berdaya saing dan berorientasikan pasaran bagi memenuhi agenda pembangunan sosioekonomi negara," katanya ketika berucap merasmikan MiACES 2022 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC), di sini hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, dalam hal ini Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) dan agensi yang berkaitan diberikan tanggungjawab menguruskan sektor agrikomoditi secara mampan. 

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

Beliau berkata, ia dapat dilihat melalui pelaksanaan secara mandatori pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) bermula pada tahun 2020. 

 

"Walaupun pengeluaran minyak sawit jatuh ke tahap rendah akibat cuaca buruk pada tahun lepas, sektor agrikomoditi tetap teguh. Sehingga Februari tahun ini nilai komoditi eksport meningkat lima peratus iaitu RM31.6 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

 

"Menjelang akhir tahun lepas, sektor ini mencapai nilai perdagangan sebanyak RM270.2 bilion iaitu peningkatan 39.7% berbanding tahun sebelumnya," katanya.

 

Beliau berkata, kerajaan menyedari seluruh dunia termasuk Malaysia berdepan dengan cabaran sekuriti makanan akibat ketidaktentuan ekonomi global dan krisis geopolitik serta perubahan iklim. 

 

Katanya, perkembangan itu menjejaskan rantaian bekalan makanan kerana ada negara menghentikan eksport bahan makanan untuk keperluan haiwan ternakan. 

 

"Justeru, kerajaan amat menggalakkan usaha menjadikan hampas isirung sawit sebagai bahan mentah makanan domestik akuakultur dan penternakan, bagi mengurangkan pergantungan import dan menyumbang kepada inisiatif sekuriti makanan negara.

 

"Pada masa yang sama, pendekatan untuk menggunakan bahan mentah daripada sisa buangan atau lebihan di sepanjang rantaian nilai sektor agrikomoditi, juga diberi tumpuan bagi memacu pembangunan ekonomi kitaran. 

 

"Ini termasuk menjadikan sumber biojisim agrikomoditi sebagai antara komponen penting dalam ekonomi kitaran yang berupaya menghasilkan produk nilai tambah, sekali gus membolehkan Malaysia bakal muncul sebagai hab biojisim," katanya.

 

Katanya, keupayaan sasaran ini juga sesuai dengan status negara sebagai pengeksport minyak sawit kedua terbesar di dunia dan penyumbang terbesar dalam industri biojisim. - DagangNews.com