MiACES 2022 platform tangkis dakwaan tidak berasas dalam sektor agrikomoditi - Zuraida | DagangNews Skip to main content

MiACES 2022 platform tangkis dakwaan tidak berasas dalam sektor agrikomoditi - Zuraida

KUALA LUMPUR 26 Julai - Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MiACES) 2022 akan menjadi platform untuk menangkis dakwaan seperti buruh paksa dan isu kemampanan dalam sektor agrikomoditi.

 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kerajaan akan memastikan syarikat dan kementerian dalam sektor agrikomoditi menjaga kebajikan pekerja dalam sektor perladangan selain akur kepada isu kemampanan seperti yang digariskan dalam Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021-2030.

 

“Walaupun produk agrikomoditi kita mendapat sambutan yang memberangsangkan di pasaran global, kementerian masih lagi menghadapi cabaran seperti tuduhan buruh paksa dan isu kemampanan daripada pihak-pihak tertentu. 

 

“Tuduhan-tuduhan ini adalah tidak berasas kerana beberapa faktor tidak diambil kira dan tiada penyiasatan yang terperinci sebelum tindakan dikenakan terhadap syarikat atau produk-produk agrikomoditi keluaran Malaysia,” katanya dalam ucapan pembukaan ketika majlis perasmian MiACES 2022, di sini hari ini.

 

MiACES yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) diadakan bermula hari ini sehingga 28 Julai.

 

Zuraida berkata, penganjuran MiACES bertemakan ‘Memajukan Sektor Agrikomoditi Dalam Ekosistem Lestari’ bertujuan mempromosikan Malaysia sebagai hab antarabangsa sektor itu bagi mengukuhkan kedudukan negara sebagai pengeluar utama produk agrikomoditi serta mempamerkan inovasi dan teknologi tempatan di peringkat antarabangsa. 

 

“Kita juga ingin menekankan usaha-usaha Malaysia untuk menjamin kemampanan dalam sektor ini dan bukannya seperti yang dipaparkan oleh tuduhan pihak-pihak tertentu,” katanya.

 

 

pm
Datuk Zuraida Kamaruddin

 

 

Melalui MiACES Zuraida berkata, kementerian tersebut menyasarkan nilai eksport sebanyak RM300 bilion bagi 2022 berbanding RM209.5 bilion pada 2021.

 

Katanya, peserta industri berpeluang untuk mengembangkan perniagaan, meneroka pasaran baharu bagi eksport agrikomoditi dan turut berpeluang mempamerkan produk keluaran masing-masing. 

 

“Sesi padanan perniagaan yang bakal diadakan berpotensi menjadi platform kerjasama peserta industri peringkat antarabangsa dan berupaya membuka ruang kepada sektor agrikomoditi tempatan untuk menjana pendapatan, seterusnya meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” tambahnya.

 

Eksport produk agrikomoditi negara pada 2021 berjumlah RM209 bilion dengan mencatatkan peningkatan signifikan 38.4% berbanding jumlah eksport pada 2020 sebanyak RM151 bilion. 

 

Sementara itu, Zuraida berkata, sektor sawit merupakan penyumbang terbesar sebanyak RM108 bilion, diikuti getah dan kayu-kayan,masing-masing sebanyak RM71 bilion dan RM22.7 bilion, Bernama melaporkan.

 

Bagi tempoh Januari sehingga Mei 2022, eksport agrikomoditi mencatatkan sebanyak RM87.6 bilion, meningkat 2.7% berbanding RM85.3 billion dalam tempoh yang sama pada tahun lepas. - DagangNews.com