Microlink peroleh kontrak RM29 juta daripada Jabatan Audit Negara | DagangNews Skip to main content

Microlink peroleh kontrak RM29 juta daripada Jabatan Audit Negara

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 12 Julai - Microlink Solutions Berhad melalui anak syarikatnya, Microlink Systems Sdn Bhd telah memperoleh kontrak bernilai RM29 juta daripada Jabatan Audit Negara (JAN).

 

Surat anugerah (LOA) tersebut melibatkan projek mereka bentuk, membangun dan menghantar gudang data, aplikasi analisis audit, papan pemuka audit, serta perkakasan dan infrastruktur sokongan lain, katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Microlink berkata projek ini dijadualkan bermula pada Ogos 2023 dan pembangunan dijangka berlangsung selama tiga tahun, berakhir pada Julai 2026.

 

“Projek ini bertujuan untuk menjana hasil berimpak tinggi yang akan memperkasakan JANN untuk membuat keputusan dengan memanfaatkan analisis data besar, pengurusan data bersepadu dan perkongsian data merentas semua agensi.

 

“Hasil projek ini akan memainkan peranan penting dalam mengukuhkan sistem utama JAN, memperkasakan penyampaian perkhidmatan pengauditan yang dipertingkatkan, meningkatkan pengesanan penipuan dan memudahkan perubahan dasar melalui penggunaan teknologi baharu untuk pendigitalan yang mampan,” tambahnya.

 

Menurut Microlink, pelaksanaan langkah inovatif itu juga akan meningkatkan kecekapan dan menyokong proses pengauditan dan pengurusan digital, serta menambah baik rangkaian teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dan infrastruktur keselamatan JAN, sekali gus meningkatkan kecekapan kerja pengauditan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Microlink, Ramlee Abdullah menyatakan visi syarikat untuk menyediakan "Data-driven: Actionable Insights" kepada pelanggan melalui rumusan analitik data yang inovatif.

 

 

Ramlee Abdullah
Ramlee Abdullah

 

 

“Dengan menggunakan analisis data, algoritma lanjutan dan pembelajaran mesin, rumusan Microlink boleh menganalisis set data yang luas untuk mendedahkan corak, arah aliran dan korelasi.

 

“Keupayaan ini membolehkan pelanggan membuka kunci nilai penuh data mereka, membawa kepada hasil yang bermakna,” tambah beliau.  

 

Saham Microlink ditutup pada 92.5 sen hari ini, menokok 1.5 sen atau 1.7% dengan modal pasaran sebanyak RM992 juta. - DagangNews.com