MIDF Research jangka pembelian gudang logistik Equalbase PTP kukuh kedudukan portfolio hartanah industri Axis-REIT | DagangNews Skip to main content

MIDF Research jangka pembelian gudang logistik Equalbase PTP kukuh kedudukan portfolio hartanah industri Axis-REIT

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 April - MIDF Research menjangkakan langkah Axis Real Estate Investment Trust (Axis-REIT) membeli gudang logistik daripada Equalbase PTP Sdn. Bhd. di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor akan mengukuhkan kedudukan portfolio hartanah industri dengan prospek aset perindustrian kekal cerah dengan permintaan yang stabil.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pembelian aset itu juga akan membantu pertumbuhan Axis-REIT secara berkala dengan jangkaan perolehan sebanyak 6.67% berdasarkan kepada kadar sewaan kasar sebanyak RM2.17 juta untuk tempoh tiga tahun pertama.

 

"Perjanjian sewaan itu adalah untuk tempoh 10 tahun dengan kenaikan 1% setahun selepas tiga tahun pertama," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu juga menjangkakan, pengambilalihan aset seluas 1,548,982 kaki persegi dengan RM390 juta itu akan memberikan pulangan positif terhadap pendapatan Axis-REIT.

 

Mereka turut menyemak semula jangkaan pendapatan Axis-REIT untuk FY22/23F sebanyak +2.2%/+4.8% selepas mengambil kira sumbangan pendapatan daripada pembelian aset industri itu.

 

Gudang logistik yang baharu dibina kira-kira tiga tahun lalu, terletak di atas tanah pajakan seluas 18.4 ekar. Ia terdiri daripada gudang dua tingkat merangkumi pejabat tiga tingkat, tempat letak kereta berbumbung dan pejabat berserta bangunan sampingan.

 

BACA JUGA: Axis-REIT ambil alih gudang Equalbase di Pelabuhan Tanjung Pelepas bernilai RM390.0 juta

 

Hartanah ini sangat sesuai untuk tujuan pergudangan kerana ia dilengkapi dengan 83 ruang pemuatan yang dilengkapi dengan perata dok hidraulik dan sistem pemercik tindak balas pantas awal (ESFR).

 

Bangunan itu terletak secara strategik dalam Zon Perdagangan Bebas PTP dan berdekatan dengan pusat pemeriksaan Tuas di Singapura, dan juga merupakan bangunan hijau yang diperakui oleh Indeks Bangunan Hijau (GBI) yang selaras dengan matlamat strategi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Axis-REIT.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' untuk saham Axis-REIT pada harga sasaran (TP) RM2.08 berbanding RM2.04 sebelum ini. - DagangNews.com