MIDF Research jangka penurunan harga langganan Unifi beri kesan minimum kepada ARPU, hasil TM | DagangNews Skip to main content

MIDF Research jangka penurunan harga langganan Unifi beri kesan minimum kepada ARPU, hasil TM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Okt - MIDF Research menjangkakan penurunan harga langganan Unifi hanya memberi kesan minimum kepada purata hasil bagi setiap pengguna (ARPU) dan hasil Telekom Malaysia (TM) Berhad.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ia berdasarkan pelan kemasukan yang lebih tinggi iaitu RM99 sebulan, risiko rendah penurunan kepada pelan jalur lebar lebih rendah selain peningkatan kelajuan percuma kepada pelanggan sedia ada.

 

Katanya, menerusi pakej baharu pelan peringkat kemasukan ialah 100mbps pada RM99 sebulan manakala pelan 30mpbs @ RM69 sebulan tidak lagi tersedia untuk orang ramai. 

 

Sebaliknya, ia telah diletakkan di bawah pakej "Rahmah" bagi memenuhi keperluan masyarakat B40, warga emas, orang kurang upaya dan veteran tentera dan polis.

 

"Sebagai contoh, pelanggan yang menggunakan pelan 30mbps akan dinaik taraf kepada 100mpbs sambil mengekalkan harga langganan mereka.

 

"Selain itu, kami meramalkan sedikit risiko untuk pelanggan yang telah dinaik taraf kepada pelan 300mbps dan ke atas untuk menurunkan pelan mereka.

 

"Sekiranya ia timbul, kami percaya bahawa TM akan melaksanakan strategi pengekalan pelanggannya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, TM turut memperkenalkan pakej RM149 yang terdiri daripada jalur lebar gentian rumah 100mbps, pascabayar 4G+5G tanpa had dan telefon pintar 5G percuma tetapi ia hadir dengan kontrak 36 bulan.

 

Katanya, kumpulan itu mengambil peluang ini bagi menghidupkan semula perniagaan mudah alih mereka yang mempunyai rangkaian yang lebih baik.

 

"Ini juga akan menyediakan satu lagi jalan bagi kumpulan untuk mempelbagaikan aliran pendapatannya.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' pada harga sasaran (TP) RM5.22 sesaham," katanya. - DagangNews.com