MIDF Research jangka prospek hartanah kekal positif didorong kadar kelulusan pinjaman lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

MIDF Research jangka prospek hartanah kekal positif didorong kadar kelulusan pinjaman lebih tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Nov - MIDF Research menjangkakan prospek sektor hartanah kekal positif berdasarkan permohonan pinjaman yang sihat selain kadar kelulusan lebih tinggi dan potensi projek infrastruktur baharu.

 

Firma penyelidikan itu kekal dengan pendirian 'positif' terhadap sektor itu dan mengunjurkan bahawa prospeknya kekal kukuh.

 

“Melihat ke hadapan, kami menjangkakan permohonan pinjaman kekal mencatatkan pertumbuhan positif, kerana Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada paras 3% pada November,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, BNM melaporkan bahawa permohonan pinjaman bagi pembelian hartanah meningkat sebanyak 0.9% bulan ke bulan dan 15.6% dari tahun ke tahun pada September 2023.

 

Jumlah permohonan pinjaman dalam sembilan bulan pertama 2023 kepada RM457.9 bilion atau peningkatan 2.6% dari tahun ke tahun.

 

MIDF Research berkata, keadaan itu menunjukkan minat membeli hartanah yang kukuh berikutan pembukaan semula sempadan negara dan penyambungan semula aktiviti ekonomi.

 

Jumlah pinjaman yang diluluskan bagi pembelian hartanah berkurangan sebanyak 13% dari bulan ke bulan kerana peratusan jumlah pinjaman yang diluluskan berbanding jumlah permohonan sebanyak 39.8% pada September 2023 secara relatifnya lebih rendah berbanding 46.1% pada Ogos 2023 .

 

Bagaimanapun, jumlah pinjaman yang diluluskan bagi pembelian hartanah meningkat sebanyak 5% tahun ke tahun pada September, pertumbuhan bulan kelima berturut-turut sejak Mei 2023.

 

"Itu menjadikan pinjaman terkumpul diluluskan pada sembilan bulan 2023 kepada RM200.7 bilion (+7.6% tahun ke tahun), yang menandakan prospek jualan baharu keseluruhan yang lebih baik untuk sektor hartanah," katanya.

 

Di samping itu, firma penyelidikan itu memilih Mah Sing Group Berhad ('beli', TP RM1.01) dan Matrix Concepts Holdings Berhad ('beli', TP RM1.86) sebagai pilihan utama untuk sektor itu kerana ia berpandangan bahawa pemaju yang memberi tumpuan kepada rumah mampu milik akan melihat jualan yang teguh di sebalik permintaan yang berdaya tahan. - DagangNews.com