MIDF Research kekalkan penarafan ‘neutral’ ke atas sektor pengguna ekoran tinjauan berhati-hati | DagangNews Skip to main content

MIDF Research kekalkan penarafan ‘neutral’ ke atas sektor pengguna ekoran tinjauan berhati-hati

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 16 Jan - MIDF Research mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap sektor pengguna disebabkan oleh tinjauan berhati-hati tetapi kekal optimis dengan prospek keperluan asas pengguna bagi pada tahun kewangan 2024 (FY24).

 

Jelasnya, ini disokong oleh sifat defensif sektor, tinjauan penggunaan domestik yang kukuh didorong oleh pelbagai pemberian tunai dalam Bajet 2024, prospek pasaran pekerjaan lebih baik dan ketibaan pelancong lebih tinggi.

 

Selain itu, firma penyelidikan itu berkata, sektor ini juga disokong prospek penternak ayam yang lebih baik sedikit disebabkan jangkaan kos input makanan ayam lebih rendah, ditambah dengan persekitaran operasi yang bertambah baik di Malaysia dan Indonesia.

 

Sebaliknya, MIDF Research menjangkakan harga komoditi pertanian global meningkat, merangkumi koko, Arabica dan Robusta pada ini, sebahagian besarnya disebabkan bekalan global berterusan terhad, serta kebimbangan yang semakin meningkat tentang isu logistik yang melambatkan penghantaran komoditi pertanian.

 

“Kami juga menjangkakan permintaan yang lembap untuk item bukan keperluan tahun ini, terutamanya disebabkan oleh ketidakstabilan ekonomi global, serta tekanan inflasi yang berpotensi lebih tinggi akibat pelaksanaan pelbagai dasar fiskal, seperti cukai barang bernilai rendah (LVG), cukai barang bernilai tinggi (HVG), cukai perkhidmatan lebih tinggi dan potensi pelaksanaan subsidi bersasar untuk bahan api diesel dan RON95.

 

“Faktor-faktor ini dijangka menghakis perbelanjaan bukan keperluan isi rumah menyebabkan perbelanjaan lebih terhad untuk barangan tahan lama,” ulas firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.

 

MIDF Research berkata, ia terus menyukai pengeluar makanan ruji pengguna yang mempamerkan permintaan berdaya tahan sebagai pilihan utamanya bagi sektor pengguna, seperti QL Resources Bhd dan Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N)

 

Dengan saranan ‘beli’ dan harga sasaran (TP) RML6.25 sesaham, firma penyelidikan itu menyukai QL Resources kerana permintaan yang berterusan untuk produk marin dan ternakan.

 

“Selain itu, kami menggemari langkah strategik syarikat meneroka pasaran baharu dengan menyediakan makanan panas dalam penerbangan kepada MAS Awana.

 

“Meskipun usaha niaga ini kini dalam fasa perintis, kami optimis terhadap keupayaan QL Resources untuk memanfaatkan dapur pusatnya dan berpotensi membawa kepada pengembangan hasil syarikat,” tambahnya.

 

Sementara itu, firma itu menyarankan ‘beli’ saham F&N dengan TP RM33.50 sesaham berikutam ia berkemungkinan mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan untuk minuman sedia dimimun, didorong oleh peningkatan trafik pelancong.

 

“Kami juga menyukai inisiatif F&N untuk terus berkembang melalui Sri Nona yang disepadukan baru-baru ini, diikuti oleh Cocoaland dan ladang tenusu bersepadu akan datang yang boleh memastikan tenusu mampu diri dan berpotensi mengembangkan asas hasil,” katanya.

 

Setakat pukul 9:48 pagi ini, saham QL Resources kekal pada RM5.90 dengan permodalan pasarannya bernilai RM14.4 bilion, manakala saham F&N tidak berubah pada RM28.60, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM10.5 bilion.  - DagangNews.com