MIDF Research: Pengecualian visa kepada pelancong China, India belum beri kesan ketara pertambahan penumpang | DagangNews Skip to main content

MIDF Research: Pengecualian visa kepada pelancong China, India belum beri kesan ketara pertambahan penumpang

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 2 Feb - Langkah memberi pengecualian visa kepada pelancong China dan India mulai 23 Disember tahun lalu masih belum memberi kesan ketara kepada pertambahan jumlah penumpang pesawat.

 

MIDF Research berkata, berkemungkinan kapasiti penumpang akan bertambah secara beransur-ansur disesuaikan dengan permintaan susulan langkah pengecualian visa kepada rakyat dua negara itu.

 

"Statistik terkini penumpang pesawat pada 2024 menunjukkan pertambahan 13% berbanding tempoh sama 2023.

 

"Pengecualian visa kepada penumpang dari China dan India dijangka menyumbang kepada pemulihan penumpang dari Asia Timur, dengan sektor bukan ASEAN meningkat 73% pada 2023," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Menurut MIDF Research, kemajuan penting pada tahun ini ialah pengoperasian penuh pesawat Air Asia.

 

"Selepas terdapat kelewatan pada awalnya, pengoperasian penuh pesawat AirAsia akan bertindak sebagai pemangkin pemulihan penuh trafik penumpang udara," jelas firma itu.

 

Artikel Berkaitan: Pertumbuhan 55% syarikat penerbangan pada 2023 memperkukuh industri penerbangan Malaysia – MAHB

 

mas

 

Sementara itu, MIDF Research menyasarkan pertambahan penumpang sebanyak 4% pada 2024 berbanding tahun 2019, iaitu tempoh sebelum pandemik.

 

Katanya, jangkaan ini melebihi daripada unjuran Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) yang membuat sasaran pertambahan sebanyak 2% berbanding 2019.

 

Menurut nota kajian itu, terdapat dua risiko utama yang boleh mempengeruhi unjuran ini iaitu kelewatan dalam penghantaran pesawat dan gangguan terhadap pemulihan pengoperasian penuh pesawat AirAsia.

 

"Pemulihan trafik penumpang udara pada 2023 berada sedikit di bawah unjuran kami, dengan mencapai kadar 91%.

 

"Ini boleh dikaitkan dengan cabaran dalam MRO yang memberi kesan kepada pemulihan tempat duduk," katanya.

 

MIDF Reserach mengekalkan saranan 'Neutral' pada saham Capital A dengan harga sasara (TP) 80 sen sesaham dan MAHB (TP: RM7.80).- DagangNews.com