MIDF Research positif terhadap rancangan F&N bina kilang pengeluaran pertama di Kemboja | DagangNews Skip to main content

MIDF Research positif terhadap rancangan F&N bina kilang pengeluaran pertama di Kemboja

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Feb - MIDF Research positif terhadap rancangan Frasers and Neave Holdings Bhd (F&N) bagi pembinaan kilang pengeluaran pertama di Kemboja sebagai usaha mengukuhkan kehadiran di negara itu.

 

Katanya, kumpulan itu merancang untuk membina kilang pengeluaran produk tenusu dan minuman dalam tin di atas tanah pajakan di  tanah perindustrian di Zon Ekonomi Khas Suvarnabhumi.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ia dilihat sebagai strategi yang berkesan untuk menubuhkan kilang pembuatan baharu yang lebih dekat dengan pasaran bagi mengurangkan masa penghantaran dan menjimatkan kos logistik.

 

"Kami juga menyukai lokasi strategik terletak dalam Zon Ekonomi Khas Suvannaphum, yang menawarkan akses mudah ke gudang pengedaran, pelabuhan kering dan gudang.

 

"Kos persediaan untuk kilang pengeluaran itu dianggarkan berjumlah RM179.5 juta, meliputi perbelanjaan seperti pajakan tanah, pembinaan bangunan dan perolehan jentera. Kilang itu dijangka mula beroperasi pada suku pertama 2026," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu menerusi F&N Foods (Cambodia) Co Ltd memeterai perjanjian pajakan dengan Suvannaphum Investment Co Ltd bagi memajak tanah perindustrian seluas 3.2 hektar di Zon Ekonomi Khas Suvannaphum, Kemboja pada 15 Februari 2024.

 

Jumlah pertimbangan pajakan ialah RM18.5 juta dan untuk tempoh 50 tahun. Urus niaga itu dijangka selesai pada separuh kedua tahun ini.

MIDF Research berkata, F&N bercadang untuk membiayai pajakan tanah perindustrian itu melalui dana yang dijana secara dalaman. 

 

Katanya, selepas selesai, kumpulan itu akan mengekalkan kedudukan tunai bersihnya dengan sedikit penurunan dalam tunai bersih FY24 kepada had pasaran, daripada 3.5% kepada 3.3%.

 

Ia juga dijangka memberi kesan minimum ke atas kunci kira-kira kos persediaan kilang pengeluaran baharu jika dibiayai secara dalaman.

 

"Kami menjangkakan kumpulan akan mengekalkan kedudukan tunai bersih dengan nisbah tunai/modal pasaran bersih sebanyak 1.8% jika kos persediaan dibiayai secara dalaman.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM33.50 sesaham," katanya. - DagangNews.com