MIDF Research positif terhadap sektor teknologi didorong permintaan tinggi produk berkaitan ekonomi digital | DagangNews Skip to main content

MIDF Research positif terhadap sektor teknologi didorong permintaan tinggi produk berkaitan ekonomi digital

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Sept - MIDF Research kekal positif untuk sektor teknologi selepas mengambil kira permintaan yang tinggi untuk produk berkaitan kenderaan elektrik (EV), kecerdasan buatan (AI) dan 5G bagi ekonomi digital seluruh dunia.

 

Firma itu berkata, elektronik automotif, teknologi AR dan VR, AI serta beberapa teknologi lain sangat bergantung kepada sektor semikonduktor untuk berkembang.

 

Katanya, selepas mengambil kira kesedaran ramai terhadap perubahan iklim, pasaran EV global berkembang dengan pesat.

 

Menurut statistik EV-Volumes, 778,092 EV baharu telah didaftarkan pada Julai 2022 atau peningkatan sebanyak 61% dan lebih 4.9 juta EV baharu telah didaftarkan di seluruh dunia setakat tahun ini, berbanding 6.5 juta pada keseluruhan 2021.

 

"EV menyumbang kira-kira 12% daripada pengeluaran kereta global dan dijangka berkembang apabila penggubal dasar mula memberi tumpuan kepada alternatif tenaga mampan.

 

"Sebagai sebahagian daripada usaha untuk membersihkan pengangkutan jalan raya, penggubal undang-undang di Parlimen Eropah bersetuju pada awal tahun ini untuk memberi mandat bahawa semua jualan kereta dan van baharu harus menjadi sifar pelepasan karbon menjelang 2035.

 

"Kami mengekalkan pandangan positif terhadap sektor ini dan menjangkakan ia bersedia untuk pembangunan eksponen hasil daripada penerimaan dan penyepaduannya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu memilih D&O Green Technologies (beli, harga sasaran (TP): RM4.58) sebagai antara pengeluar LED utama di dunia kerana syarikat berada pada kedudukan yang ideal untuk mendapat manfaat daripada pengembangan pesat pasaran EV.

 

Firma itu juga menyukai Inari (beli, TP: RM3.53) kerana ia merupakan pembekal pemasangan dan ujian semikonduktor penyumberan luar terbesar (OSAT) dan memiliki prospek pertumbuhan yang baik.

 

"Walaupun unjuran pendapatan untuk FY23 bagi segmen telefon pintar lebih rendah, pihak pengurusan menjangkakan keadaan itu akan kembali pulih kerana disokong oleh reka bentuk generasi baharu serta sistem yang lebih baik," katanya. - DagangNews.com