MIDF Research: Ringgit diunjur RM4.20 akhir 2024, pemulihan ekonomi China antara faktor pengukuhan | DagangNews Skip to main content

MIDF Research: Ringgit diunjur RM4.20 akhir 2024, pemulihan ekonomi China antara faktor pengukuhan

Ringgit diunjur RM4.20 berbanding dolar pada akhir tahun ini dengan perkembangan di AS dan China turut membantu pengukuhan mata wang tempatan itu.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 8 Jan - MIDF Research menjangkakan ringgit akan pulih dan mengukuh menjelang akhir tahun 2024 dengan berlegar sekitar RM4.20 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

Meski pun mencatatkan prestasi lemah pada 2023, MIDF dalam laporan terbaharu menggariskan beberapa faktor yang mampu mempengaruhi pengukuhan ringgit tahun ini.

 

Antaranya, langkah Rizab Persekutuan AS (Fed) yang dijangka memotong kadar faedah manakala Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar faedah semalaman (OPR) pada 3.00% dan ringgit serta mata wang serantau lain akan mendapat manfaat daripada pembalikan aliran dana, yang kembali ke dalam pasaran baharu muncul.

 

"Selain itu, apabila ekonomi China pulih, ringgit juga akan disokong oleh peningkatan yang lebih tinggi prestasi perdagangan serantau,' katanya dalam laporan ulasan matawang Disember 2023.

 

Namun demikian, MIDF Research dalam laporan itu turut mengingatkan terdapat beberapa situasi yang boleh menjejaskan prestasi ringgit pada tahun ini.

 

"Ini seperti kemungkinan kemelesetan di AS dan aktiviti perdagangan dan pembuatan yang terus perlahan di peringkat global," jelas MIDF Research.

 

Sementara itu, menyentuh prestasi ringgit pada 2023, MIDF Research menyifatkan tahun lalu sebagai tempoh mencabar kepada mata wang itu yang mencecah paras rendah baharu sejak Krisis Kewangan Asia apabila ditutup pada RM4.794 berbanding dolar AS, 23 Oktober 2023.

 

Katanya, prestasi lemah itu kebanyakannya disebabkan faktor luaran terutama pendirian Fed dan pemulihan ekonomi China yang lebih lemah daripada jangkaan.

 

"Akibatnya, walaupun asas ekonomi domestik yang positif, ringgit kembali lemah daripada paras tertinggi RM4.244 pada akhir Januari 2023. 

 

"Hanya dalam dua bulan terakhir 2023, ringgit kukuh berbanding dolar tetapi masih mengakhiri tahun dengan -4.1% lebih lemah daripada akhir 2022," jelas MIDF Research dalam laporan tersebut.- DagangNews.com