MIDF Research semak naik penarafan sektor logistik kepada positif didorong prospek dagangan lebih cerah pada 2024 | DagangNews Skip to main content

MIDF Research semak naik penarafan sektor logistik kepada positif didorong prospek dagangan lebih cerah pada 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Okt - MIDF Research menyemak naik penarafan sektor logistik kepada 'positif' berbanding 'neutral' sebelum ini didorong prospek perdagangan lebih cerah pada 2024.

 

Katanya, normalisasi kadar tambang pengangkutan laut dan udara menjadikan permintaan semakin baik dan menyelesaikan kesesakan serta penghantaran kapal baharu.

 

Apabila kadar menjadi stabil, keterlihatan pendapatan lebih baik dijangka dalam kalangan pemain industri.

 

"Keadaan itu adalah disebabkan keupayaan mereka mendapatkan kadar tambang lebih baik dengan pelanggan dan memanfaatkan kedudukan perundingan dengan talian perkapalan.

 

"Pemain industri mengakui bahawa kadar sewa mungkin mengalami sedikit penyederhanaan dengan pengenalan berjuta-juta kaki persegi kapasiti gudang tambahan dalam tempoh dua tahun akan datang terutamanya di kawasan utama seperti Shah Alam.

 

"Bagaimanapun, aliran ini menimbulkan cabaran yang lebih besar bagi pengendali gudang yang lebih kecil, kerana syarikat multinasional (MNC) semakin memihak kepada penyedia logistik yang mampu menampung keperluan penyatuan dan menyampaikan penyelesaian gudang yang dibuat khusus," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Swift Haulage Berhad (beli, TP: 65 sen) merupakan antara pilihan utama firma penyelidikan itu kerana ia memegang 9% bahagian pasaran yang dominan dalam segmen pengangkutan kontena dan konsisten mencapai keuntungan unggul margin berbanding pesaingnya.

 

Katanya, prestasinya juga terlindung daripada turun naik kadar pengangkutan antarabangsa.

 

MIDF Research juga memilih Tasco Berhad (BELI, TP: RM1.60) kerana pelanggannya mempunyai pendedahan yang ketara kepada pasaran selektrik dan elektronik (E&E) dan semikonduktor yang telah memacu pertumbuhan eksport domestik walaupun eksport keseluruhan merosot 

 

"Tasco dijangka akan mendapat manfaat daripada kredit cukai boleh dituntut yang besar hasil daripada pembinaan dua gudang baharunya," katanya. - DagangNews.com