MIDF Research semak turun penarafan TNB kepada 'neutral' selepas catat untung bersih Q1 lebih rendah | DagangNews Skip to main content

MIDF Research semak turun penarafan TNB kepada 'neutral' selepas catat untung bersih Q1 lebih rendah

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 31 Mei - MIDF Research menyemak turun penarafan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) kepada 'neutral' berbanding 'beli' sebelum ini dengan harga sasaran tidak berubah pada RM9.55 selepas kumpulan merekodkan prestasi kewangan suku pertama (Q1) yang kurang memberangsangkan. 

 

Keuntungan bersih syarikat utiliti itu bagi suku berakhir 31 Mac 2022 susut kepada RM893.10 juta berbanding RM958.70 juta pada suku pertama 2021.

 

Bagaimanapun, pendapatannya meningkat 36.4% tahun ke tahun kepada RM15.65 bilion daripada RM11.47 bilion sebelumnya.

 

Ini terutamanya disebabkan  kedudukan yang belum pulih bagi Pelepasan Kos Bahan Api Tidak Seimbang (ICPT) sebanyak RM3.5 bilion pada suku pertama 2022 berbanding dengan ICPT sebanyak RM327.3 juta pada suku pertama 2021.

 

Penganalisis MIDF Research, Hafriz Hezry berkata, semakan semula itu mengambil kira peningkatan minimum  dan risiko aliran tunai yang meningkat, menyebabkan dividen kurang pandangan optimis, yang selama ini menjadi daya tarikan utama TNB.

 

Katanya, untung bersih teras kumpulan pada suku pertama itu sebanyak RM850 juta (tidak termasuk keuntungan kadar tukaran asing RM43 juta) adalah tersasar daripada jangkaan firma.

 

"Keputusan kewangan ini hanya merangkumi 19% daripada jangkaan kami dan 18% daripada jangkaan konsensus," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Menurutnya, selepas meningkat kepada RM10.5 bilion pada suku keempat 2021, penerimaan hutang meningkat lagi kepada RM14.1 bilion pada suku pertama 2022. 

 

Lonjakan ini, katanya, kemungkinan disebabkan kutipan pelanggan yang lemah dan ICPT yang belum pulih sejak 2 suku sebelumnya. 

 

"Pada masa sama, penggearan bersih juga meningkat kepada 76% pada suku pertama, justeru, kami kekal berhati-hati terhadap aliran tunai dan kesan dividen daripada penghutang yang lebih tinggi.

 

"Tambahan pula, kos bahan api kekal tinggi seperti yang dicerminkan oleh ICPT yang masih belum pulih dan harga arang batu yang tinggi," jelasnya.

 

Setakat 9.56 pagi ini, harga saham TNB susut 4 sen atau 0.43% kepada RM9.21 dengan 189,800 saham diniagakan. - DagangNews.com