MIDF Research semak turun unjuran pendapatan Sarawak Plantation bagi FY23-24 kesan jangkaan hasil pengeluaran lebih perlahan | DagangNews Skip to main content

MIDF Research semak turun unjuran pendapatan Sarawak Plantation bagi FY23-24 kesan jangkaan hasil pengeluaran lebih perlahan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 24 Mei - MIDF Research mengurangkan unjuran pendapatan Sarawak Plantation Berhad bagi tahun kewangan 2023 dan 2024 (FY23 dan FY24) masing-masing kepada RM75.9 juta dan RM66.6 juta serta menurunkan taraf kepada ‘neutral’ daripada ‘beli’.

 

Firma penyelidikan itu berkata unjuran pendapatan FY23 dan FY24 masing-masing diturunkan sebanyak 5% dan 6% tahun ke tahun (YoY) berikutan prestasi kumpulan dijangka lebih lemah akibat margin mampat pada suku-suku dan tahun berikutanya.

 

Ini adalah berikutan disebabkan hasil pengeluaran lebih perlahan akibat kos pengeluaran yang tidak menentu, di mana purata kos pengeluaran adalah sekitar RM2,200 setiap tan metrik pada 2023 berbanding RM2,600 setiap tan metrik pada FY22, tambah firma itu.

 

MIDF Research juga kekal berhati-hati terhadap prospek perniagaan memandangkan firma itu menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) menjadi sederhana susulan keputusan kerajaan Indonesia menarik balik sekatan eksport pada akhir Mei untuk mengurangkan simpanan stok berlebihan.

 

“Oleh itu, kami menurunkan saranan daripada ‘beli’ kepada ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) dikurangkan kepada RM2.20 berdasarkan PER sebanyak 8.1 kali, menghampiri purata min dua tahun  dengan menambat pendapatan sesaham (EPS) FY23 sebanyak 27.2 sen,” ujarnya dalam nota hari ini.

 

Sarawak Plantation merupakan syarikat yang menumpukan perniagaan huluan semata-mata dan harga saham sangat berkaitan dengan pergerakan MSM, tambahnya.

 

Mengulas tentang prestasi kewangan Sarawak Plantation bagi suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23), firma itu berkata keuntungan bersih kumpulan hanya meliputi 19% daripada ramalan setahun penuh firma dan konsensus.

 

“Harga MSM yang menyederhadan di samping operasi rendah secara bermusim juga mengurangkan keuntungan operasi kumpulan kepada RM14.6 juta berbanding RM39 juta,” jelasnya.

 

Kelemahan operasi bermusim ini telah menjejas pembelian luar buah tandan segar (BTS) yang menyusut 17% YoY, menyebabkan pemprosesan BTS menjadi perlahan 8%. Akibatnya, pengeluaran MSM dan isirung kepala sawit telah menurun masing-masing sebanyak 7% dan 1%.

 

Namun begitu, firma itu berkata kadar perahan minyak (OER) kekal baik pada 20.11% berikutan proses pemindahan BTS yang lebih baik berikutan cuaca bertambah baik.

 

Pada pukul 10:40 pagi hari ini, saham Sarawak Plantation menokok 5 sen atau 2.3% kepada RM2.19 sesaham, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM613.2 juta. -DagangNews.com