MIDF Research unjur Airtel Lanka kekal rugi, tidak mungkin sumbang untung bersih Dialog Axiata dalam masa terdekat | DagangNews Skip to main content

MIDF Research unjur Airtel Lanka kekal rugi, tidak mungkin sumbang untung bersih Dialog Axiata dalam masa terdekat

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 22 April - Airtel Lanka dijangka tidak menyumbang kepada keuntungan bersih Dialog Axiata dalam tempoh terdekat, malah mungkin kekal mengalami kerugian melebihi jangka masa satu tahun.

 

Menurut MIDF Research, meskipun diunjurkan meningkatkan hasil Dialog sebanyak kira-kira 8%, perlu diberi perhatian juga yang Airtel Lanka sedang mengalami kerugian dengan kerugian tahun kewangan 2023 (FY23) hampir berjumlah RM200 juta disebabkan susut nilai dan kos kewangan.

 

Oleh itu, fima penyelidikan tersebut mengekalkan anggaran pendapatan tidak berubah pada ketika ini.

 

"Kami juga tidak menolak kemungkinan bahawa Airtel Lanka mungkin kekal mengalami kerugian melebihi jangka masa satu tahun.

 

"Ini memandangkan kemampuan pengguna yang berkurangan, kos operasi yang meningkat dan pulangan pelaburan yang semakin berkurangan," katanya dalam nota penyeldikan hari ini.

 

airtel

 

MIDF Research juga mengekalkan syor Neutral pada Axiata dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM2.42 selepas pengumuman mengenai pemerolehan Bharti Airtel oleh Dialog.

 

"Kami juga berpendapat bahawa pembiayaan melalui pertukaran saham juga menandakan kedudukan kewangan Axiata yang ketat," jelasnya.

 

Sementara itu, RHB Investment Bank mengekalkan saranan Beli pada Axiata dengan harga sasaran RM3.40 sesaham, peningkatan sebanyak 33%.

 

Dalam nota penyelidikan hari ini, RHB Investment berkata, pertambahan pendapatan untuk FY25F daripada penggabungannya dengan Airtel mencadangkan sinergi yang baik.

 

"Pada pandangan kami, kesan keseluruhan ke atas pendapatan Axiata dapat diurus dalam jangka sederhana. Kami terus menyukai Axiata," ujarnya.

 

Kata firma itu, portfolio spektrum yang lebih besar akan menyumbang kepada kos yang lebih rendah dengan perbelanjaan capex yang lebih cekap.

 

"Airtel kini mempunyai lebih 2,400 tapak berbanding 5,500 tapak dimiliki Dialog. Ia bercadang untuk mengurangkan 1,400 tapak Airtel yang bertindih.

 

"Dengan strategi dwi jenama yang diguna pakai, pelanggan sedia ada akan mengekalkan rancangan semasa mereka," katanya.

 

 

Pada 18 April lalu, Axiata Group Bhd, Dialog Axiata PLC dan Bharti Airtel Ltd memeterai perjanjian muktamad bagi menggabungkan operasi di Sri Lanka, termasuk pengambilalihan keseluruhan saham-saham terbitan Bharti Airtel Lanka (Pte) Ltd.

 

Menerusi kenyataan bersama, pihak terbabit turut mengumumkan bahawa Dialog akan mengambil alih 100 peratus saham terbitan Airtel Lanka, anak syarikat milik penuh Bharti Airtel, dengan menerbitkan saham biasa sebanyak 10.355 peratus daripada jumlah saham terbitan kepada Bharti Airtel.- DagangNews.com