KUALA LUMPUR 22 Sept - MIDF Research mengekalkan unjuran inflasi Malaysia pada paras 3% untuk 2023.
Firma penyelidikan itu berkata, bagi tempoh lapan bulan tahun ini purata inflasi makanan berada pada paras 5.7% sama seperti yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
"Kami menganggarkan inflasi makanan kekal pada julat 5.5% hingga 6% pada separuh kedua tahun ini kesan persekitaran luaran yang mencabar terumanya pengeluaran pertanian global
"Selain itu, penyusutan nilai ringgit yang panjang antara lain akan membawa kepada inflasi import yang lebih tinggi terutama melalui harga makanan kerana Malaysia adalah pengimport bagi kebanyakan produk makanan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
BACA JUGA: Inflasi Malaysia kekal 2% pada Ogos 2023 – DOSM
Terdahulu, peningkatan mata indeks inflasi didorong oleh kenaikan lebih rendah bagi kumpulan restoran dan hotel sebanyak (4.7%), dan makanan dan minuman bukan alkohol (4.1%), diikuti kumpulan pelbagai barangan dan perkhidmatan serta kesihatan masing-masing meningkat 2.4%.
Firma penyelidikan itu berkata, bagi inflasi bukan makanan, mereka yakin kerajaan akan mengekalkan harga runcit bahan api status quo sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun ini.
Katanya, inflasi bukan makanan dijangka berada pada purata pada 1.5%.
"Dengan mengambil kira kedua-dua komponen CPI, kami menjangkakan kadar inflasi utama Malaysia akan menjadi purata pada 3% untuk 2023," katanya. - DagangNews.com