Mindef buka tawaran bekalkan 780 laras senjata antikereta kebal Tentera Darat | DagangNews Skip to main content

Mindef buka tawaran bekalkan 780 laras senjata antikereta kebal Tentera Darat

Senjata antikereta kebal pakai buang Instalanza C90.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 2 Feb - Kementerian Pertahanan (Mindef) telah mengeluarkan tawaran bagi kontrak membekalkan senjata antikereta kebal ringan (light antitank weapon - LAW) untuk Tentera Darat.

 

Difahamkan Tentera Darat berminat mendapatkan senjata antikereta kebal pakai buang Instalanza C90 buatan Sepanyol bagi kegunaan pasukan batalion infantri.

 

Jumlah yang diperlukan ialah kira-kira 780 unit pelancar.

 

Instalaza C90 ialah pelancar roket pakai buang dengan peluru berkaliber 90 milimeter (mm) lancaran bahu yang boleh dikendalikan oleh seorang anggota sahaja.

 

Roket
Instalanza C90 merupakan senjata antikereta kebal pakai buang paling ringan dalam kelasnya.

 

Bagi menambah keberkesanan, ia boleh dipasang dengan peranti penglihatan malam VN38-C untuk keupayaan pertempuran malam penuh.

 

Instalaza C90 yang mampu mengenai sasaran pada jarak 300 meter hingga 700 meter juga merupakan senjata antikereta kebal untuk infantri paling ringan dalam kelasnya dengan berat hanya 5.3 kilogram (kg).

 

Ini merupakan pembelian tambahan kerana Tentera Darat telah mula menggunakan senjata ini sejak tahun 2000.

 

Penggunaan senjata ini pada masa itu memberi evolusi baharu kepada Tentera Darat apabila mula mempraktikkan konsep batalion infantri standard yang memberi penekanan kepada kuasa tembakan.

 

Roket
Anggota Tentera Darat semasa latihan menggunakan senjata M79 LAW.

 

Sepanjang tempoh itu, ada pembelian lain dibuat oleh Mindef termasuklah bagi kegunaan unit-unit Gerup Gerak Khas.

 

Cuma, varian yang ada pada masa ini lebih baik dan canggih berbanding sebelumnya.

 

Bagaimana pun, tidak semua batalion infantri dibekalkan dengan senjata antikereta kebal pakai buang.

 

Firma Instalanza menghasilkan empat varian C90 iaitu dengan peluru roket antiperisai, antiperisai ditambah pemecahan, antibunker dan asap. 

 

Kemungkinan Tentera Darat mahu membeli tiga varian pertama sahaja.

 

Roket
RPG-7 menjadi senjata antikereta kebal utama dalam batalion infantri standard Tentera Darat.

 

Roket

 

Berdasarkan ciri-ciri yang diperlukan, senjata antikereta kebal tembak buang ini untuk melengkapkan batalion infantri semasa operasi dan latihan.

 

Kegunaan utama senjata adalah untuk memusnahkan kenderaan berperisai ringan, penempatan senjata api, kubu pertahanan, kubu konkrit dan sasaran statik.

 

Pelancar tersebut hendaklah mudah dibawa oleh anggota tanpa menjejaskan mobiliti mereka semasa operasi termasuk melalui udara.

 

Senjata antikereta kebal ini juga hendaklah ringan tetapi memiliki keupayaan memusnah yang tinggi sesuai dengan corak operasi sama ada semasa ofensif dan pertahanan.

 

Roket
Tentera Darat juga dipercayai membeli senjata Carl Gustaz M4 bagi menggantikan senjata varian sedia ada.

 

Pada tahun 2017, Tentera Darat ada membeli sejumlah senjata antikereta kebal pakai buang jenis Nammo M72 LAW buatan Norway.

 

Dua jenis senjata dibeli iaitu varian antikereta kebal dan antistruktur.

 

M72 LAW yang mula digunakan semasa era Perang Vietnam juga memiliki ciri-ciri lasak selain menjadi pilihan banyak angkatan tentera di dunia.

 

Selain senjata pakai buang, Tentera Darat juga masih mengekalkan senjata sedia ada iaitu Carl Gustaz 84mm dan sistem RPG 7.

 

Kedua-duanya mempunyai kelebihan masing-masing yang mana Carl Gustaz merupakan senjata pemusnah armor dan halangan yang praktikal.

 

Bagi RPG 7, kelebihan utama pada saiz dan berat pelancar yang ringan selain mudah dikendalikan serta lasak. - DagangNews.com