Mindef dapat dana RM19.7 bilion, tambah aset pertahanan termasuk 12 helikopter, 3 kapal LMS | DagangNews Skip to main content

Mindef dapat dana RM19.7 bilion, tambah aset pertahanan termasuk 12 helikopter, 3 kapal LMS

Kenderaan pembawa pelancar grenad buatan syarikat tempatan, Cendana Auto.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 10 Jan - Perolehan aset untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi fokus pada Kementerian Pertahanan (Mindef) sepertimana yang telah digariskan biarpun bertukar kepimpinan.

 

Pada masa sama, Mindef berpendapat peruntukan pertahanan yang diberikan kerajaan wajar disemak dan ditambah baik selaras dengan keperluan mengikut perubahan konteks dan cabaran semasa.

 

Perkara tersebut ditegaskan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin dalam Perutusan Tahun Baharu 2024 Menteri Pertahanan di Mindef.

 

“Persediaan dan kesiagaan kita harus mengundang rasa gerun dan hormat di pihak kawan dan lawan,

 

Mindef
Mohamad Khaled (berdiri belakang, tiga dari kiri) melancarkan logo korporat baharu Mindef selepas menyampaikan perutusan Tahun Baru 2024.

 

“Biarpun kini peruntukan pertahanan yang diperoleh sudah mencecah 1% KDNK negara, jumlah ini mesti sentiasa disemak dan ditambah baik,” katanya.

 

Mindef menerima peruntukan sebanyak RM19.7 bilion dengan RM7.05 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

 

Peningkatan sebanyak RM2 bilion atau 5.3% berbanding tahun lalu wajar dimanfaatkan Mindef secara berhemah, strategik dan produktif.

 

Antara perolehan baharu yang menjadi tumpuan Mindef tahun ini adalah perolehan 12 buah helikopter baharu fasa 1 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan 3 buah kapal misi pesisir (LMS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Batch 2.

 

Helikopter
TUDM perlu mempunyai helikopter tambahan bagi menyokong operasi udara termasuk bantuan semasa bencana.

 

Aset lain yang bakal diterima ialah pesawat rondaan maritim (MPA), sistem pesawat udara tanpa pemandu (UAS) dan pesawat tempur ringan dwifungsi (FLIT/LCA).

 

Turut berada dalam senarai Mindef ialah perolehan bot pemintas laju, antisonar decoy bagi kapal selam Kelas Perdana Menteri, 136 buah High Mobility Armoured Vehicle (HMAV), meriam 155mm Self Propelled Howitzer serta trak kembalik ringan.

 

Merujuk pada senarai tersebut, perolehan yang telah dibuat ialah 2 buah pesawat MPA ATR-72 dari syarikat Leonardo dan 3 unit ANKA dari Turkish Aerospace Industries (TAI).

 

Selain itu, TUDM telah dimuktamadkan pembelian 18 buah FA-50 Block 20 dari Korea Aerospace Industries (KAI) untuk fasa pertama perolehan FLIT/LCA.

 

Helikopter

 

Pada masa sama, Mohamad Khaled mahu diberikan fokus pada inisiatif dalam bidang penyelidikan dan sains kejuruteraan bagi meneroka kemahiran dalam teknologi pertahanan.

 

Ini menerusi peranan institusi-institusi milik kementerian seperti Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) dan Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS).

 

Strategi seterusnya ialah membangunkan ekosistem sokongan pertahanan negara dengan memastikan industri pertahanan tempatan berkembang dan produktif. 

 

Selain meneroka pelbagai inovasi dan kerjasama baharu yang menguntungkan negara, industri pertahanan negara mesti mempunyai sumbangan yang signifikan dalam melahirkan bakat. - DagangNews.com