MINDEF perlu bentang laporan kemajuan projek LCS setiap tiga bulan - PAC | DagangNews Skip to main content

MINDEF perlu bentang laporan kemajuan projek LCS setiap tiga bulan - PAC

KUALA LUMPUR 14 Nov - Kementerian Pertahanan perlu membentangkan laporan kemajuan Projek Pembangunan Kapal Peronda Generasi Kedua (LCS) setiap tiga bulan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sehingga projek itu disempurnakan.

 

Itu adalah antara lima syor penambahbaikan PAC terhadap Laporan Kemajuan Projek Pembangunan LCS Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Di Bawah Kementerian Pertahanan Malaysia Bagi Tempoh Jun Hingga September 2023.

 

Menerusi laporan yang dipaparkan di laman sesawang rasmi PAC, pihaknya akan membentangkan laporan kemajuan projek LCS dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan.

 

"Kementerian Pertahanan perlu membentangkan laporan kemajuan kepada PAC mengikut piawaian pengurusan projek antarabangsa dan tidak terhad kepada fizikal dan kewangan.

 

"Kementerian itu juga perlu memastikan kontraktor pembinaan menyiapkan 'detailed design' (rekaan terperinci) sepenuhnya termasuk mendapat kelulusan daripada Naval Group sebelum Ogos 2024 seperti yang terkandung dalam Perjanjian Tambahan Keenam (SA6)," katanya.

 

Katanya, pembayaran yang perlu dibuat kepada pengilang peralatan asal (OEM) dan pihak yang sepatutnya hendaklah bertepatan dengan yang digariskan dalam SA6 supaya kelewatan pembinaan dapat dielakkan, Berita Harian melaporkan.

 

"Kementerian Pertahanan dan TLDM perlu memastikan sebarang penggunaan dana digunakan secara berhemah dengan mengutamakan keperluan untuk menyiapkan LCS serta tidak membazir.

 

"Kementerian Kewangan pula perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam memastikan tiada pembaziran wang rakyat dalam projek pembinaan LCS," katanya. - DagangNews.com