Minetech Resources rombak lembaga pengarah, Abang Abdillah Izzarim kini pemegang saham terbesar hampir 17% | DagangNews Skip to main content

Minetech Resources rombak lembaga pengarah, Abang Abdillah Izzarim kini pemegang saham terbesar hampir 17%

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 17 Jan -  Abang Abdillah Izzarim Abang Abdul Rahman Zohari, anak Premier Sarawak, Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg, kini memiliki 16.82% kepentingan ekuiti di dalam Minetech Resources Berhad.

 

Beliau yang dilantik sebagai pengerusi syarikat itu pada 3 Januari lalu, pada asalnya memperoleh 15.58% kepentingan atau 240 juta saham daripada Datuk Awang Daud Awang Putera, yang juga pengasas bersama Serba Dinamik Sdn Bhd, tidak lagi menjadi pemegang saham besar Minetech pada Disember 2023.

 

Susulan itu, syarikat kejuruteraan awam, pengeluar produk bitumen dan pemain baru dalam ruang tenaga suria mengumumkan rombakan lembaga pengarah di Bursa Malaysia.

 

Menurut Minetech, pengasas dan pengarah eksekutif syarikat, Choy Sen @ Chin Kim Sang, 70, telah meletak jawatan untuk menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarganya.


 

Choy Sen @ Chin Kim Sang
Choy Sen @ Chin Kim Sang

 


Choy Sen masih mempunyai 2.74% pegangan langsung dalam syarikat itu, serta 5.46% pegangan tidak langsung melalui keluarganya.

 

Anak lelakinya Chin Jet Choy, 38, juga tidak lagi menjadi pengarah ganti kepada Choy Sen berikutan peletakan jawatan ayahnya itu. Jet Choy memiliki 0.314% pegangan langsung dalam Minetech.

 

Satu lagi pemfailan menunjukkan anak lelaki Choy Sen Pete Chin Sheong Choy yang berusia 44 tahun juga telah meletak jawatan sebagai pengarah eksekutif Minetech untuk meneruskan komitmen perniagaan yang lain. Dia mempunyai kepentingan langsung sebanyak 0.583% dalam Minetech.

 

Ini menjadikan Chin Leong Choy sebagai satu-satunya pengarah eksekutif syarikat daripada keluarga Chin. Leong Choy memegang 4.53% kepentingan langsung.

 

Ahmad Rahizal Ahmad Rasidi
Ahmad Rahizal Datuk Ahmad Rasidi

 


Sementara itu, bekas pengerusi bukan eksekutif Minetech Ahmad Rahizal Datuk Ahmad Rasidi, 40, telah dilantik semula sebagai pengarah eksekutif.


 

Emma Yazmeen Yip Mohd Jeffrey Yip
            Emma Yazmeen Yip Mohd Jeffrey Yip

 


Syarikat itu juga telah melantik Emma Yazmeen Yip Mohd Jeffrey Yip, 29, sebagai pengarah eksekutif.

 

Beliau kini merupakan pengarah kewangan di ADAP Capital Sdn Bhd, jawatan yang dipegangnya sejak Februari 2022. - DagangNews.com