MISC jalin kerjasama dengan Mitsui, Samsung dan Andritz teroka sektor CCS | DagangNews Skip to main content

MISC jalin kerjasama dengan Mitsui, Samsung dan Andritz teroka sektor CCS

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 18 Jan - MISC menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) masing-masing dengan Mitsui & Co., Ltd., Samsung Heavy Industries (SHI) dan ANDRITZ AG (ANDRITZ) untuk meneroka peluang dalam rumusan `penangkapan' dan penyimpanan karbon (CCS) dalam rantaian nilai maritim.

 

Ini merangkumi aspek mengenal pasti hab penyimpanan, pembangunan penyelesaian terapung serta bahagian dan peralatan penangkapan karbon.

 

MoU tersebut telah ditandatangani hari ini oleh anggota jawatankuasa pengurusan MISC, Mohd Denny Mohd Isa; Pengurus Besar Pengangkutan & Bahagian Perniagaan Jentera IV Mitsui & Co., Ltd., Kensuke Kubota; Pengurus Besar, Pasukan Pembangunan Perniagaan Luar Pesisir SHI, Park Youheum dan Pengarah dan Ketua Pegawai Operasi ANDRITZ Sdn. Bhd., Michael Karner

 

Di bawah MOU dengan Mitsui & Co., Ltd., kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam peluang perniagaan merentas rantaian nilai CCS, termasuk mengenal pasti hab CCS yang berpotensi, menilai daya maju komersial dan teknikal penyelesaian CCS.

 

Sementara itu, perkongsian dengan SHI meliputi pembangunan bersama kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) penyelesaian karbon dioksida (CO2) terapung untuk memudahkan dan menyokong pengoptimuman projek CCS luar pesisir dengan menggabungkan kepakaran, pengalaman dan sumber setiap pihak.

 

Kerjasama dengan ANDRITZ meliputi aplikasi dan pengoptimuman teknologi penangkapan karbon dan pelaksanaan kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC) sistem CCS untuk aplikasi berasaskan marin dan darat.

 

Penyertaan MISC dalam rantaian nilai CCS meletakkan Kumpulan dalam kedudukan yang kukuh untuk menyampaikan jangka panjang strategi MISC 2050 yang memberi tumpuan kepada mengenal pasti peluang perniagaan baharu semasa memandu nilai mampan untuk pemegang kepentingan MISC.


 

MISC, Kapten Rajalingam Subramaniam
                                               Kapten Rajalingam Subramaniam

 


Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC, Kapten Rajalingam Subramaniam berkata, teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon serta infrastruktur berkaitan, adalah langkah penting untuk menyokong dan mempercepatkan peralihan ke arah masa depan rendah karbon.

 

"Kerjasama strategik dengan pihak berkepentingan global sentiasa menjadi pendekatan kami, dan kami akan terus menjalin perkongsian dalam pembangunan dan pengkomersilan rantaian nilai penangkapan dan penyimpanan karbon.

 

"MoU itu mencerminkan cita-cita MISC untuk menentukan peranan kami pada masa depan yang sedang dibentuk oleh peralihan tenaga dan kami berbesar hati untuk meneroka peluang dalam usaha baharu ini bersama rakan kongsi kami.

 

“Komitmen kami terhadap penyahkarbonan diperkukuh lagi melalui perkongsian kukuh kami dalam The Castor Initiative, sebuah gabungan global yang dibentuk untuk membangunkan amonia sebagai bahan api yang berdaya maju untuk industri maritim," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Menurut beliau, perbincangan juga sedang dijalankan untuk mengembangkan perkongsian bagi memastikan MISC beroperasi dengan cara yang mampan dan bersedia untuk peralihan.

 

"Kepakaran kolektif kami sebagai Kumpulan dalam perkapalan tenaga, pengurusan maritim dan pelabuhan, kejuruteraan luar pesisir dan fabrikasi meletakkan kami dalam kedudukan yang berdaya maju untuk membangun dan memainkan peranan penting dalam rantaian nilai penangkapan dan penyimpanan karbon,” kata Kapten Rajalingam. - DagangNews.com