MISC meterai pinjaman berkaitan kemampanan AS$527 juta dengan Standard Chartered biayai 6 VLEC | DagangNews Skip to main content

MISC meterai pinjaman berkaitan kemampanan AS$527 juta dengan Standard Chartered biayai 6 VLEC

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 April - MISC Berhad (MISC) telah memeterai kemudahan pinjaman bersindiket AS$527 juta (RM2.34 bilion) untuk membiayai enam pembawa etana sangat besar (VLEC).

 

Kemudahan tersebut dimeterai oleh anak syarikatnya berpangkalan di Singapura dengan Standard Chartered sebagai bank penstruktur, penyelaras kemampanan dan lindung nilai.

 

Pinjaman berjangka bukan rekursa bagi tempoh 11 tahun itu adalah pinjaman berkaitan kemampanan (SLL) sulung kumpulan tersebut dan distrukturkan untuk sejajar dengan strategi perniagaan jangka panjang dan aspirasi kemampanannya.

 

Kumpulan itu berkata ini membuktikan komitmen MISC ke arah menggalakkan pembangunan mampan, serta pengiktirafan sumbangannya kepada alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

"MISC telah komited untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050 dan menyasarkan untuk menyumbang kepada ekonomi neutral karbon dengan beralih kepada penyelesaian pengangkutan pelepasan karbon rendah dan akhirnya sifar karbon," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Di bawah kemudahan ini, Bank Pembangunan Korea, Perbadanan Perbankan Sumitomo Mitsui, Labuan Branch, DBS Bank Ltd, Export-Import Bank of Malaysia Berhad, MUFG Bank Ltd., Singapore Branch, serta pemberi pinjaman yang tidak didedahkan bertindak sebagai pengatur utama yang diberikan mandat.

 

Dengan kedua-dua petunjuk prestasi utama (KPI) alam sekitar dan tadbir urus, kumpulan tersebut berkata, KPI alam sekitar yang bercita-cita tinggi ditanda aras untuk melangkaui sasaran pelepasan yang digariskan dalam trajektori penyahkarbonan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) 2050 dan Prinsip Poseidon.

 

“Ini termasuk mengukur keamatan karbon armada Aset & Penyelesaian Gas MISC melalui nisbah kecekapan tahunan (AER), serta akan mendapat manfaat daripada pelarasan tahunan kadar faedah yang ditanda aras dengan memenuhi KPI yang telah dipersetujui sebelumnya,” tambahnya.

 

 

Naib Presiden Kewangan MISC, Raja Azlan Shah Raja Azwa berkata kumpulan itu percaya menyepadukan prinsip ESG ke dalam strategi jangka panjang dan membuat keputusan adalah kunci untuk membentuk masa depan yang mampan.

 

Beliau menambah, menjamin SLL ini untuk VLEC mencerminkan komitmen berterusan mempercepatkan pemacu bagi meningkatkan prestasi ESG dengan menambat pembiayaan pada strategi penyahkarbonan kumpulan.

 

“Kami akan melaksanakan rancangan secara progresif untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau (GHG) sifar bersih menjelang 2050, termasuk memupuk kerjasama strategik dengan pihak berkepentingan kumpulan termasuk sektor pembiayaan kapal,” ulas beliau.

 

Setakat pukul 4:07 petang hari ini, saham MISC telah menokok 8sen atau 1.1% kepada RM7.33 sesaham, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM32.7 bilion. -DagangNews.com