MITI akan memastikan kadar pelaksanaan penuh pelaburan RM329.5 bilion - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

MITI akan memastikan kadar pelaksanaan penuh pelaburan RM329.5 bilion - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul Abdul Aziz menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai peningkatan 23% bagi jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM329.5 bilion bagi tahun 2023, berbanding tahun 2022./ Gambar fail Bernama
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 23 Feb - Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan memastikan kadar pelaksanaan penuh bagi pelaburan RM329.5 bilion yang diluluskan pada 2023 seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Sambil menyambut baik pengumuman Perdana Menteri itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, jumlah pelaburan dululuskan bagi tahun 2023 merupakan peningkatan 23% berbanding 2022.

 

"Jumlah ini juga adalah jumlah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah, di mana pelaburan asing merupakan penyumbang utama iaitu sebanyak 57.2% berbanding pelaburan domestik sebanyak 42.8%.

 

"Setakat ini secara purata, prestasi pelaksanaan tahunan (pelaburan) bagi tempoh 2021 – 2023 menunjukkan lebih 85% projek perkilangan yang diluluskan telah dilaksanakan, dengan diterajui oleh MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Katanya, MITI juga ingin mengiktiraf sumbangan dari pelbagai pihak di semua peringkat, termasuk pelbagai Kementerian, agensi dan pihak swasta, yang turut membantu dalam mempercepatkan proses pelaksanaan komitmen pelaburan.

 

Menurut Tengku Zafrul, pelaburan diluluskan berjumlah RM329.5 bilion tersebut melibatkan 5,101 projek yang berpotensi mewujudkan lebih 127,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat. 

 

"Pencapaian jumlah pelaburan tersebut mencerminkan pemulihan dan kebangkitan semula ekonomi negara. 

 

"Peningkatan 35.1% bagi pelaburan domestik juga mencerminkan keyakinan terhadap dasar-dasar Kerajaan MADANI," jelasnya.

 

Tambah beliau, bagi tempoh 2021 sehingga 2023, sebanyak 2,386 projek perkilangan telah diluluskan dengan projek perkilangan secara umumnya akan mengambil masa 18 hingga 24 bulan untuk disiapkan, bergantung kepada tahap kerumitan sesuatu projek. 

 

Katanya, antara projek-projek yang berjaya dilaksanakan dalam tempoh yang singkat (kurang daripada 18 bulan) termasuk Enovix Malaysia Sdn. Bhd. yang akan membangunkan fasiliti pengilangan volum tinggi pertama bateri silikon oleh Enovix di Malaysia. 

 

Turut dinyatakan beliau, pelaburan Ferrotec Manufacturing Malaysia Sdn. Bhd. yang telah menubuhkan fasiliti pengilangan pertama di rantau Asia Tenggara, khusus untuk mengendalikan pemasangan peralatan elektromekanikal dan fabrikasi bahan termaju bagi industri semikonduktor. 

 

Satu lagi ialah Ultra Clean Technology (Malaysia) Sdn. Bhd. yang membuat pelaburan dalam projek pembesaran keupayaan di Pulau Pinang.

 

"Pelaksanaan segera dan tuntas bagi merealisasikan pelaburan diluluskan ini telah dilaksanakan melalui platform seperti Majlis Pelaburan Negara (MPN); Jawatankuasa Tindakan Penyelarasan Pelaburan dan Perdagangan (JTPPP) dan Investment Coordination Committee Meeting (ICCM).

 

"MIDA melalui Pejabat Pelaksanaan Projek dan Fasilitasi (TRACK) juga komited untuk memastikan projek-projek perkilangan yang diluluskan dapat dilaksanakan dengan segera.

 

"Peranan TRACK adalah amat penting dalam meningkatkan keberkesanan proses pemantauan dan fasilitasi pelaburan seterusnya mempercepat dan meningkatkan kadar pelaksanaan projek di Malaysia," katanya.

 

Jelas Tengku Zafrul, setakat ini MITI dan agensinya juga telah banyak memudah cara perjalanan pelabur di Malaysia melalui Invest Malaysia Facilitation Centre yang bertempat di MIDA.

 

Katanya, pusat itu membolehkan pelabur menyelesaikan pelbagai urusan pentadbiran secara langsungdengan pihak berkuasa seperti kastam, imigresen, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Buruh.

 

"Memandang ke hadapan, MITI juga akan mengutamakan pembangunan dan penghasilan bakat berkualiti untuk memenuhi permintaan yang dinamik oleh industri agar kedudukan Malaysia sebagai pusat inovasi dan kecemerlangan kekal kukuh.

 

"Kita juga akan mengutamakan pembukaan peluang kepada syarikat dan PKS tempatan untuk menerima manfaat dari pelbagai pelaburan yang dilaksanakan di Malaysia," ujarnya.- DagangNews.com