MK Land bangunkan loji solar fotovoltaik skala besar di Perak | DagangNews Skip to main content

MK Land bangunkan loji solar fotovoltaik skala besar di Perak

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Julai - Pemaju hartanah, MK Land Holdings Berhad meneroka perniagaan tenaga boleh diperbaharui dengan membangunkan loji solar fotovoltaik (PV) berskala besar 10.95 megawatt (MW) di Kerian, Perak.

 

Kumpulan itu melantik Solarvest Holdings Berhad sebagai penyedia penyelesaian kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk projek itu.

 

Katanya, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada kitaran keempat program solar berskala besar (LSS4) yang dianugerahkan oleh Suruhanjaya Tenaga dan ia akan dilaksanakan oleh Solar Citra Sdn Bhd (SCSB) yang merupakan anak syarikat MK Land Resources Sdn. Bhd.

 

Pada Julai 2021, SCSB menganugerahkan kontrak EPCC bernilai RM42.9 juta kepada Atlantic Blue Sdn. Bhd., anak syarikat Solarvest. 

 

MK Land kemudiannya menandatangani perjanjian pembelian tenaga solar dengan Tenaga Nasional Berhad pada Ogos 2021 untuk tempoh 21 tahun selepas tapak itu ditauliahkan pada 30 Disember 2022.

 

Timbalan Ketua Pegawai Operasi MK Land, Kamarulzaman Abu Bakar berkata, loji solar PV baharu itu akan mengukuhkan pendapatan syarikat untuk 21 tahun akan datang.

 

"Selain daripada faedah kewangan, kami juga berbangga untuk menggelar diri kami sebagai peserta aktif menentang pemanasan global ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

MK land

 

Beliau berkata, projek berkenaan akan menghasilkan tenaga bersih kira-kira 22,735 MW sejam untuk tempoh setahun.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Solarvest, Davis Chong Chun Shiong berkata, menerusi pelaksanaan penyelesaian kejuruteraan termaju, syarikat yakin dapat memaksimumkan hasil tenaga dengan cara paling berkesan selain memastikan penghantaran tepat pada masanya.

 

"Dengan jumlah keseluruhan lapan kontrak EPCC dan tiga projek milik sendiri yang diraih menerusi program LSS4, Solarvest berbangga berada di barisan hadapan dalam usaha Malaysia untuk mencapai gabungan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 31% menjelang 2025.

 

"Kami berperanan membina aset tenaga boleh diperbaharui di seluruh semenanjung juga menyumbang kepada aspirasi negara untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2050," katanya. - DagangNews.com