MMC Ports sempurnakan operasi pemindahan kapal ke kapal pertama di Pelabuhan Yan | DagangNews Skip to main content

MMC Ports sempurnakan operasi pemindahan kapal ke kapal pertama di Pelabuhan Yan

Dua kapal tangki yang membawa kargo jenis minyak sedang menjalankan operasi pemindahan kargo dari kapal ke kapal atau di Pelabuhan Yan, Kedah.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Mei - MMC Port Holdings Sdn Bhd (MMC Ports), menerusi anak syarikat penuh miliknya iaitu Andaman Port Sdn Bhd telah berjaya menyempurnakan operasi pemindahan kargo dari kapal ke kapal atau 'Ship-to-Ship (STS)' di Pelabuhan Yan, Kedah. 

 

MMC Ports dalam kenyataan hari ini berkata, operasi STS itu telah berjalan lancar pada 25 hingga 26 April 2023 di salah satu daripada 10 lokasi yang diluluskan terletak 5 batu nautika dari persisiran Pulau Bunting.

 

Katanya, pihaknya sedang memajukan Pelabuhan Yan sebagai hab untuk operasi STS dan komited untuk menyediakan perkhidmatan STS yang selamat dan efisyen. 

 

"Pelabuhan Yan terletak di lokasi yang strategik iaitu di laluan utama perkapalan antarabangsa yakni di bahagian utara Selat Melaka dan kedalaman laut sehingga 30 meter sesuai untuk semua jenis kapal seperti VLCC dan Q-Max. 

 

"Operasi STS yang pertama kali di dalam had Pelabuhan Yan ini telah berjaya dilaksanakan dengan mematuhi kriteria dan tahap keselamatan yang tinggi seperti mana yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tanpa mengabaikan kelestarian ekosistem laut dan alam sekitar," katanya.

 

Menurut MMC Ports, kejayaan operasi STS adalah hasil daripada kerjasama yang baik dan utuh dengan pihak-pihak berkuasa persekutuan dan negeri termasuk Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jabatan Laut Malaysia, Kerajaan Negeri Kedah serta lain-lain agensi kerajaan yang turut terlibat bagi memastikan operasi STS berjalan secara lancar, selamat serta efisien.

 

Katanya, pihaknya mempunyai keupayaan dan kepakaran dalam penyediaan perkhidmatan marin yang komprehensif dengan tahap keupayaan prestasi yang kukuh untuk mengendalikan pelbagai jenis kargo. 

 

"MMC Ports telah menerima beberapa tempahan tetap pada suku tahun seterusnya dari Timur Tengah, China, dan Korea untuk melaksanakan aktiviti STS di Pelabuhan Yan bagi pemindahan kargo-kargo seperti minyak mentah, Gas Asli Cecair (LNG) dan Gas Petroleum Cecair (LPG)," katanya. - DagangNews.com