KUALA LUMPUR 29 Nov - Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MMHE) telah memperoleh subkontrak untuk platform pencawang luar pesisir arus terus voltan tinggi (OSS HVDC) daripada Petrofac International (UAE) LLC bernilai RM1.2 bilion.
Menurut makluman MMHE di Bursa Malaysia hari ini, platform OSS HDVC tersebut terdiri daripada bahagian atas seberat kira-kira 30,000 tan (termasuk peralatan), dan jaket seberat kira-kira 10,000 tan, untuk Projek Ijmuiden ver Alpha di Belanda.
Skop subkontrak, yang dianugerahkan kepada anak syarikat MMHE, Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd, melibatkan kerja kejuruteraan pembinaan, fabrikasi, penyiapan mekanikal, pemuatan keluar dan pengancing laut, dan kerja-kerja seni bina berasaskan kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC).
Tempoh subkontrak adalah kira-kira 54 bulan dengan fabrikasi akan bermula pada 2025 dan siap menjelang 2028.
Selain itu, MMHE dan Petrofac akan bekerjasama dalam kerja-kerja fabrikasi untuk dua unit tambahan OSS yang sama saiz.
"Bersiap sedia untuk kerja-kerja fabrikasi, MMHE akan memperluaskan lagi pengaktifan semula halaman MMHE East yang akan digunakan bersama-sama halaman MMHE West dalam melaksanakan projek ini," kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Pandai Othman.
Pada pukul 4:08 petang ini, saham MMHE menokok 2 sen atau 4.3% kepada 48.5 sen dengan permodalan pasaran sebanyak RM776 juta. - DagangNews.com