KUALA LUMPUR 10 Feb - Universiti Multimedia (MMU) memeterai perjanjian persetujuan (MoA) dengan Agmo Holdings Berhad bagi menubuhkan sebuah ruang inovatif dalam kampus universiti tersebut.
Ruang inovatif yang dinamakan sebagai Agmo-Space itu, dilengkapi dengan kemudahan berteknologi canggih seperti peralatan Non-Fungible Tokens (NFT), Virtual Reality (VR), Augmented Reality (AR), Extended Reality (XR) dan sebagainya yang menjadi tarikan kepada pengunjung dan pengguna ruang ini.
Presiden MMU, Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su'ud berkata, pihaknya menyifatkan kerjasama ini sebagai kesinambungan proses digitalisasi terhadap universiti bagi memperkukuhkan lagi kedudukan MMU dalam era digital.
"Agmo-Space akan menjadi ruang inovatif pertama yang ditubuhkan oleh alumni MMU dalam kampus, dan ia akan memainkan peranan penting dalam mempromosikan teknologi masa depan dan menyemai bakat-bakat baharu dalam bidang ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, perjanjian tersebut ditandatangani Mazliham dan Ketua Pegawai Eksekutif Agmo Holdings, Tan Aik Keong di kampus MMU di sini, baru-baru ini.
Menurut Mazliham, kerjasama ini adalah salah satu contoh terbaik untuk menggalakkan alumni-alumni MMU lain untuk turut memberi sumbangan kepada MMU dan masyarakat menerusi inovasi yang berkualiti.
Sementara itu, Tan berkata, dengan penubuhan Agmo-Space, pihaknya menyasarkan untuk menyemarak minat pelajar untuk menempa kerjaya dalam industri penyelesaian digital.
"Kerjasama ini adalah satu lagi contoh bagaimana pihak industri boleh bekerjasama dengan institusi pendidikan untuk membangunkan bakat yang berkaitan dengan industri," katanya.
Katanya, pihaknya berusaha untuk membawa projek dan tugasan industri kehidupan sebenar ke dalam kampus untuk menyediakan pelajar dengan pendedahan industri yang relevan sebanyak mungkin.
MMU muncul sebagai antara universiti terawal menerima pengiktirafan status Premier Digital Tech Institution daripada Kementerian Pengajian Tinggi dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) sejak 2017.
Sejak ditubuhkan 26 tahun lepas, MMU melahirkan kira-kira 70,000 graduan berkemahiran tinggi dan kini MMU secara rasminya adalah salah sebuah universiti yang diiktiraf sabagai institusi terbaik untuk melanjutkan pengajian dalam bidang berkaitan teknologi pengkomputeran. - DagangNews.com