MOTAC sambut baik pembukaan pelancongan di kawasan PKPB & PKPP | DagangNews Skip to main content

MOTAC sambut baik pembukaan pelancongan di kawasan PKPB & PKPP

Datuk Seri Nancy Shukri

Datuk Seri Nancy Shukri

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyambut baik pengumuman pembukaan sektor pelancongan dan kebudayaan di kawasan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) bermula 19 Februari 2021.

 

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pengumuman tersebut adalah khabar gembira kepada penggiat industri pelancongan dan kebuyaaan tempatan.

 

"Saya menyambut baik pengumuman tersebut dan percaya ia adalah khabar gembira buat penggiat industri pelancongan dan kebudayaan tempatan.

 

"Alhamdulillah, cadangan berterusan oleh MOTAC agar aktiviti pelancongan dan kebudayaan yang terhenti semasa PKP untuk dibenarkan beroperasi semula kini telah diluluskan.

 

"Insya Allah, MOTAC akan terus bersama penggiat industri pelancongan dan kebudayaan tanah air untuk bangkit semual terutama dalam situasi yang mencabar ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

Baru-baru ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri bersetuju untuk membenarkan aktiviti di premis pelancongan di kawasan PKPB.

 

Kebenaran tersebut diberikan dengan operasi pada kadar 50% daripada premis dengan penjarakan fizikal.

 

Kebenaran tersebut adalah termasuk lokasi seperti zoo, akuarium, pusat edutainment, taman semulajadi, suka ekstrem, rekreasi dan ladang.

 

Bagi kawasan PKPP pula, aktiviti pelancongan domestik dibenarkan dengan mematuhi penjarakan fizikal.

 

Syarat sama diberikan bagi lokasi premis hasil seni budaya dan warisan seperti perpustakaan, muzium, galeri seni, pentas persembahan budaya, pusat hiburan keluarga dan taman tema luar.

 

Dalam pada itu, Nancy turut menyeru kepada orang ramai yang akan memulakan aktiviti pelancongan di kawasan setempat masing-masing agar terus memberi sokongan kepada sektor pelancongan negara serta melanconglah dengan selamat.

 

"Jadilah pelancong yang bertanggungjawab dengan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa dan mempraktikkan amalan norma baharu," tambah beliau. - DagangNews.com