MPay bantu lebih banyak kerajaan negeri, PBT pelbagai  mekanisme pembayaran | DagangNews Skip to main content

MPay bantu lebih banyak kerajaan negeri, PBT pelbagai  mekanisme pembayaran

Dr Azizan Osman dan Chew Chee Seng pada majlis perasmian super apps Mpay iaitu "Pearl, One Touch Penang" di Pulau Pinang pada 28 April 2023.

PULAU PINANG 2 Mei - Keupayaan ManagePay Systems Bhd. (MPay) membangunkan super apps yang lengkap bagi kegunaan pihak berkuasa tempatan (PBT) diperteguhkan dengan perluasan perkhidmatannya kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang.

 

Pemegang saham utama dan ahli lembaga pengarah MPay, Datuk Wira Dr. Azizan Osman berkata, keupayaan tersebut dibuktikan melalui super apps, Pearl, One Touch Penang yang pertama di Malaysia dilancarkan kerajaan negeri Pulau Pinang. 

 

Katanya, aplikasi itu dapat mudahkan urusan penduduk, peniaga dan pelancong bagi urusan dengan pihak PBT termasuk transaksi tanpa tunai di seluruh negeri itu.

 

"Isu sebelum ini, kebanyakan cuba membina aplikasi masing-masing tetapi dalam kapasiti terhad dan tiada integrasi dengan PBT lain.

 

"Super Apps, Pearl ini membolehkan akses kepada semua PBT di bawah Pulau Pinang dengan 12 Kategori dan 112 e-perkhidmatan," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika  mengulas pelancaran super apps, Pearl oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di Penang Town Hall, Jumaat lalu.

 

Yang turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Datuk Ar. Yew Tung Seang dan Pengasas & Pengarah Urusan MPay, Datuk Chew Chee Seng.


 

parafrasa
Chow Kon Yeow (kanan) bersama Datuk Ar. Yew Tung Seang (dua dari kanan) dan Datuk Chew Chee Seng (kiri) pada majlis pelancaran aplikasi "Pearl, One Touch Penang" di Pulau Pinang pada 28 April 2023. 

 


Menurut Dr Azizan yang juga Mentor Usahawan merangkap Pengerusi RichWorks International Sdn. Bhd. itu, beliau  melihat MPay mampu memperkasakan lagi pemain dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan peluang pembiayaan, kemudahan pembayaran digital dan banyak lagi. 

 

"Saya bersama RichWorks bukan hanya menyediakan latihan dan bimbingan keusahawanan berterusan malah menyediakan platform sokongan lain. 

 

"Sejak 2008, kami sentiasa tambah baik lagi khidmat diberikan, melakukan kolaborasi hingga menjadi organisasi yang paling banyak melahirkan usahawan jutawan di negara ini," tegasnya. 

 

Sehubungan itu, Azizan memberitahu, teknologi juga merupakan salah satu alat penting untuk seseorang usahawan bertahan malah kembangkan bisnes masing-masing 

 

"Melalui teknologi terkini, ia akan memberikan usahawan 'unfair advantage' dengan saluran dan kemudahan yang lebih baik untuk alami pertumbuhan," jelasnya. - DagangNews.com