KUALA LUMPUR 13 April - Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) sedang mengendalikan projek perintis ke arah mengiktiraf Kumpulan Pelaksana melalui Inisiatif Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) sebagai kaedah bagi mengiktiraf individu berdasarkan pengalaman dan pencapaian terdahulu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, inisiatif itu sejajar dengan teras utama peningkatan produktiviti dalam pembangunan bakat perkhidmatan awam dengan mengoptimumkan kepakaran Kumpulan Pelaksana yang terdiri dari gred rendah seperti pembantu am pejabat, pemandu dan kerani.
“Kaedah PPT memberi peluang kepada individu atau calon mendapat pengiktirafan dan seterusnya memberi kepuasan serta motivasi untuk memajukan diri.
"Individu yang bekerja tentunya sukar untuk mengikuti kelas secara formal,” kataya dalams atu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kaedah PPT itu dapat meningkatkan produktiviti dan prestasi organisasi selain menjimatkan kos bagi tujuan latihan serta persijilan pekerja.
Selain itu katanya, ia dapat menyumbang kepada pembangunan kerjaya pada masa hadapan.
Beliau berkata, banyak program telah dilaksanakan secara dalam talian dan ia secara tidak langsung mengurangkan kerja-kerja fizikal serta keperluang untuk mencetak dokumen.
"Kumpulan sokongan akan disusun semula mengikut keperluan dan kemahiran seperti menjalankan aktiviti penyiaran, menjalankan kerja-kerja suntingan video pendek dan poster dalam talian sangat diperlukan bagi berinteraksi dengan pelanggan MPC," katanya.
Kaedah PPT seperti yang digariskan dalam Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK) tidak memerlukan pekerja mengikuti pembelajaran secara formal di pusat bertauliah secara sepenuh masa, tetapi hanya perlu membina dan membangunkan satu portfolio yang dapat membuktikan ketrampilan yang dimiliki. - DagangNews.com