MPN gesa kerajaan laksana 11 resolusi untuk pulihkan negara | DagangNews Skip to main content

MPN gesa kerajaan laksana 11 resolusi untuk pulihkan negara

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin beramah mesra dengan para peserta selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial di Putrajaya pada 13 Oktober 2022.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PUTRAJAYA 13 Okt - Majlis Pemulihan Negara (MPN) menggesa kerajaan melaksanakan 11 resolusi bagi memulihkan negara melalui penekanan aspek keterangkuman sosial dan bermaruah.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob berkata, ia meliputi penekanan terhadap aspek kuantiti dan kualiti pendidikan bagi mengatasi masalah keciciran, menambah baik pengambilan nutrisi makanan dan mengatasi masalah mental dalam kalangan murid.

 

Beliau berkata, penekanan itu turut memacu sektor perniagaan dengan meningkatkan akses kepada geran dan pinjaman serta moratorium bersasar bagi mengatasi masalah aliran tunai.

 

"Selain itu, memperkenal insentif bagi tujuan ketersediaan digital perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk meningkatkan produktiviti, mengurangkan kebergantungan kepada buruh berkemahiran rendah, pekerjaan berkualiti tinggi dan menawarkan pendapatan tinggi.

 

"Keempat, segera mengenal pasti pelaburan yang memfokuskan kepada pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) yang berteknologi serta produktiviti tinggi dan menawarkan pekerjaan dengan pendapatan tinggi kepada rakyat.

 

"Kelima, meningkatkan kemahiran melalui insentif kepada majikan yang menghantar pekerja untuk peningkatan kemahiran, penumpuan kemahiran menjurus ke arah digitalisasi dan mahir dalam teknologi tinggi serta meningkatkan produktiviti dan peluang meningkatkan pendapatan," katanya ketika mengumumkan 11 resolusi itu pada majlis penutup Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial di sini, hari ini.

 

Menurut Sulaiman, kerajaan juga diminta segera menyelesaikan isu-isu sosioekonomi negara khususnya dalam mengurangkan jurang pembangunan di Sabah dan Sarawak melalui pendekatan berdasarkan situasi merangkumi hak golongan wanita, Orang Kurang Upaya (OKU), golongan minoriti termasuk Orang Asli.

 

 

mpn
Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob (kiri, hadapan) bersama Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah, hadapan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Azril Mohd Amin (kanan, hadapan) bergambar bersama penyelidik dan peserta Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial di Putrajaya pada 13 Oktober 2022.

 

 

"Resolusi juga termasuk menambah baik infrastruktur asas dan akses kepada perkhidmatan kesihatan terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah dan Sarawak. Antaranya mengurangkan kos pengangkutan tinggi, 'out-of-pocket payments', kekurangan staf kesihatan.

 

"Selain itu, menumpu kepada aspek 'structural change' yang bersifat berpusat kepada 'decentralisation' termasuk dari segi pengagihan peruntukan yang lebih saksama untuk Sabah dan Sarawak.

 

"Menangani isu jaminan bekalan makanan bagi mengatasi dilema ketidaktentuan rantaian bekalan serta kebergantungan terhadap import yang telah menghantui kita sejak sekian lama. Meningkatkan pembangunan ekonomi berasaskan tenaga boleh diperbaharui dan matlamat ekonomi hijau," katanya.

 

 

mpn

 

 

Katanya, resolusi mengenal pasti anjakan baharu dalam bidang ekonomi yang bersesuaian mengikut acuan tempatan dengan merangka strategi yang berkesan contohnya, instrumen wakaf, zakat dan infaq), tanpa mengikut atau mengadaptasi model luar negara yang sukar dipraktikkan di Malaysia.

 

"Justeru, suatu pendekatan yang holistik dan inklusif perlu diambil dalam memacu pemulihan negara serta memperkukuh aspek keterangkuman sosial. Langkah ini penting bagi menangani jurang pendapatan dan sosioekonomi merentasi wilayah sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030)," katanya. - DagangNews.com