KUALA LUMPUR 15 Dis - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan menganjurkan Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit (R&O) 2024 pada 11 Januari 2024 untuk menyebarkan maklumat berkaitan prestasi industri sawit Malaysia pada 2023, prospek pasaran dan tinjauan harga untuk 2024 serta perkembangan pasaran terkini dalam industri.
R&O, adalah acara tahunan yang merupakan sebagai satu platform MPOB untuk berkongsi maklumat mengenai prestasi industri sawit Malaysia dan untuk membuat unjuran bagi prestasinya untuk tahun semasa.
Bertemakan "Memenuhi Keperluan Global dengan Minyak Sawit Mampan" R&O 2024, yang akan berlangsung di ibu negara, ia akan menumpukan pada mekanisasi dan automasi dalam ladang sawit, kesan cabaran global terhadap bekalan dan permintaan minyak sawit serta prospek minyak sawit.
Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, beliau akan membentangkan kertas kerja mengenai prestasi industri sawit bagi tahun 2023 dan prospek untuk 2024.
"R&O 2024 akan memberi peluang kepada peserta untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai prestasi industri sawit. Pakar industri akan berkongsi mengenai strategi, cabaran, peluang, prospek dan perkembangan pasaran industri sawit bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Sementara itu, R&O 2024 juga akan membincangkan komitmen industri sawit Malaysia terhadap pembangunan mampan sambil memenuhi permintaan global.
Sembilan kertas kerja yang mengetengahkan prestasi industri sawit bagi 2024, prospek pasaran dan tinjauan untuk 2023, serta perkembangan, cabaran dan peluang dalam sektor sawit akan dibentangkan pada seminar itu.
Selain itu, pakar industri akan membincangkan topik yang merangkumi pelan hala tuju Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) dalam meningkatkan kemampanan minyak sawit dan memerangi kempen anti-minyak sawit, dan faedah Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) kepada ekonomi Malaysia.
Pakar minyak dan lemak, Dr Julian McGill dari Glenauk Economics akan berkongsi mengenai prospek pasaran dan harga minyak sawit bagi 2024.
Pemain industri yang terlibat dalam industri sawit dan minyak dan lemak lain, termasuk penyelidik, penanam, pengilang, peniaga, pengeksport, ahli ekonomi, penggubal dasar dan ahli akademik digalakkan untuk menyertai seminar itu.
- DagangNews.com