KUALA LUMPUR 8 Jan - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) harus menjadi penanda aras kepada dunia dalam semua penyelidikan dari sektor huluan ke sektor hiliran berkaitan minyak sawit, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Johari berkata sektor perladangan perlu bekerjasama dengan MPOB dengan mengambil peluang dalam mengetengahkan hasil penyelidikan seperti penggunaan bahan tanaman sawit berkualiti yang dihasilkan melalui kemajuan bioteknologi dan teknik tisu kultur.
“Industri sawit memberi sumbangan penting kepada ekonomi negara yang menjana lebih RM130 bilion kepada pendapatan negara,” kata beliau ketika kunjungan beliau ke Ibu Pejabat MPOB di Bangi, hari ini.
Beliau turut disertai oleh Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin dan Ketua Setiausaha Kementerian tersebut, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli, serta pegawai-pegawai kanan dari kementerian.
Ketika kunjungan itu, Johari diberi taklimat mengenai peranan MPOB dan kemajuan bidang penyelidikan dan pembangunan yang meliputi semua aspek sawit.
MPOB dalam satu kenyataan media hari inin berkata penyelidikannya menghasilkan bahan tanaman sawit seperti PS1.1 dan Siri Klon Sawit yang meliputi CPS 1, CPS 2 dan CPS 3 yang ditawarkan kepada pihak industri bagi penanaman secara komersial bagi pengeluaran hasil sawit yang tinggi.
Sehingga kini, agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk pembangunan industri sawit itu telah membangunkan 714 teknologi merangkumi semua sektor dalam industri sawit termasuk formulasi produk makanan dan bukan makanan berasaskan sawit.
Sebanyak 233 teknologi atau 32.7% daripada teknologi ini telah dikomersialkan dan diterima pakai oleh industri dan usahawan.
“MPOB komited memastikan pembangunan industri sawit dengan mewujudkan sinergi antara kemakmuran ekonomi, pembangunan mampan dan penambahan nilai untuk memastikan pertumbuhan masa depan dijalankan dalam rangka kerja yang mampan.
“Di bawah kepimpinan Johari, MPOB tekad memacu kemajuan industri sawit bagi menjana kesejahteraan ekonomi negara dan menjadi penggiat utama dalam sektor minyak sayuran global,” katanya. - DagangNews.com