Minyak masak dalam botol yang dipasarkan dengan pelbagai jenama memberi pilihan kepada pengguna golongan pertengahan dan atasan yang sanggup membayar dengan harga lebih tinggi berbanding minyak bungkusan plastik. - Gambar FGV Holdings Bhd.
KUALA LUMPUR 18 Jun - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menegaskan bahawa kualiti minyak masak olein dalam bungkusan plastik 1 kilogram (kg) yang dijual di pasaran tempatan adalah menepati kualiti yang ditetapkan dan bukan minyak kitar semula.
Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, pada masa ini, terdapat 49 buah kilang penapis yang aktif beroperasi serta 312 syarikat pembungkus minyak masak bagi bekalan minyak masak untuk kegunaan pasaran tempatan yang dianggarkan sebanyak 1 juta tan setahun.
Jelasnya, minyak masak di pasaran tempatan dijual dalam pelbagai saiz bungkusan dari paket plastik 1kg hingga minyak masak dalam botol bersaiz 1kg hingga 5kg manakala saiz bungkusan 17kg dalam tin digunakan oleh industri kecil dan sederhana.
"Kebanyakan minyak masak daripada bungkusan plastik 1kg dikeluarkan oleh syarikat pembungkus kerana kos operasi yang rendah.
"Minyak masak plastik 1kg biasanya dijual dalam bentuk karton dengan berat 17kg (yang mengandungi 17 paket 1kg minyak masak).
"Harga minyak masak dalam bungkusan plastik 1kg di pasaran dikawal oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di mana harga runcitnya tidak boleh dinaikkan melebihi harga kawalan RM2.50 yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Subsidi diberikan kepada minyak masak plastik 1kg kepada pengguna pada harga RM2.50 sebungkus walaupun harga minyak sawit mentah (MSM) di pasaran telah meningkat.
Bekalan minyak masak bersubsidi bertujuan mengurangkan beban hidup pengguna untuk mendapatkan minyak masak dengan harga yang berpatutan.
Subsidi bersasar ini bagi pengguna yang membeli minyak masak dalam bungkusan plastik 1kg untuk kegunaan sendiri khususnya untuk golongan berpendapatan rendah.
Minyak masak dalam botol yang dipasarkan dengan pelbagai jenama memberi pilihan kepada pengguna golongan pertengahan dan atasan yang sanggup membayar dengan harga lebih tinggi berbanding minyak bungkusan plastik.
Menurut beliau, pengguna dan persatuan pengguna menganggap minyak masak dalam bungkusan plastik 1kg mempunyai kualiti yang lebih rendah berbanding minyak masak dalam botol kerana harganya yang lebih murah.
“Tanggapan bahawa minyak masak dalam bungkusan plastik 1kg yang dijual dengan harga subsidi mempunyai kualiti yang lebih rendah adalah salah.
Harga minyak masak dalam bungkusan plastik 1kg disubsidi dan dikawal oleh Kerajaan. Oleh itu, harganya lebih murah berbanding harga minyak masak dalam botol di pasaran," katanya.
MPOB, katanya, menjalankan pemantauan secara berkala dan pengujian sampel minyak masak di pasaran mendapati bahawa kualiti dan ciri-ciri penting adalah menepati kriteria yang ditetapkan oleh Jabatan Standard Malaysia.
"Ini meliputi kandungan asid oleik, warna dan kualiti penting termasuk sebatian polar, sebatian polimer, indeks kestabilan oksidatif dan vitamin E (tokotrienol dan tokoferol),” jelasnya.
Beliau berkata, pengeluaran MSM diproses kepada minyak masak olein untuk kegunaan pasaran tempatan dan eksport.
Pada 2020, Malaysia mengeluarkan 19.14 juta tan minyak sawit mentah dan penggunaan minyak masak olein untuk pasaran tempatan hanya merangkumi 4.1 peratus daripada jumlah pengeluaran minyak sawit mentah negara.
Harga minyak sawit mentah telah melonjak tinggi sejak hujung tahun lalu dan memberi tekanan kepada harga minyak masak di pasaran tempatan.
Harga purata MSM telah meningkat daripada RM2,979.50 satu tan pada Oktober 2020 kepada RM4,572 satu tan pada Mei 2021.
Untuk harga minyak masak berasaskan sawit pula, ia adalah berpandukan kepada harga olein sawit yang juga telah meningkat ekoran daripada kenaikan harga MSM.
Harga minyak masak yang dijual dalam botol 1kg, 2kg, 3kg, dan 5kg tidak disubsidi dan harganya ditentukan oleh harga minyak sawit mentah di pasaran global.
"Jadi, pengguna bebas membuat pilihan membeli minyak masak sawit di pasaran sama ada bersubsidi dalam bungkusan plastik 1kg atau minyak masak tanpa subsidi dalam botol," tambahnya.
Sementara itu, Ahmad Parveez berkata, minyak masak terpakai biasanya diproses semula untuk tujuan bukan makanan terutamanya untuk dijadikan biodiesel dan untuk dieksport.
Eksport minyak masak terpakai berjumlah 195,559 tan bernilai RM606.88 juta pada 2020 berbanding 123,519 tan bernilai RM308.49 juta pada 2019.
Bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, sebanyak 40,522 tan minyak masak terpakai bernilai RM153.01 juta dieksport, jelas beliau. - DagangNews.com