MPOB perkenal dua teknologi baharu untuk pengkomersialan sempena TOT 2023 | DagangNews Skip to main content

MPOB perkenal dua teknologi baharu untuk pengkomersialan sempena TOT 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Julai - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memperkenalkan dua teknologi baharu dari kluster bioteknologi dan makanan untuk pengkomersialan sempena Program Pemindahan Teknologi Sawit (TOT) MPOB 2023.

 

MPOB berkata, teknologi baharu itu adalah True-to Type Versi 2-Platform Genotaip Beresolusi Tinggi untuk Pengenalpastian Pokok Induk dan Keju Mozzarella Analog berasaskan Sawit.

 

Teknologi True-to Type Versi 2-Platform Genotaip Beresolusi Tinggi untuk Pengenalpastian Pokok Induk adalah platform asid deoksiribonukleik (DNA) beresolusi tinggi bagi memastikan hanya pokok sawit yang mempunyai keturunan genetik yang dikehendaki ditanam dalam ujian biakbaka dan ladang komersial. 

 

Katanya, platform itu juga berguna untuk membantu penubuhan pangkalan genetik serta menambah baik pengurusan dan kawalan kualiti bahan yang dibiakkan di tapak semaian dan komersial serta di makmal kultur tisu.

 

"Manakala Keju Mozzarella Analog berasaskan Sawit diformulasikan dengan menggunakan minyak sawit sebagai pengganti lemak susu, tidak mengandungi kolesterol dan asid lemak trans. 

 

"Ia juga mempunyai kualiti dan fungsi yang setara dengan keju Mozzarella komersial berasaskan susu dan sesuai digunakan dalam pembuatan piza," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, beliau yakin dengan kerjasama penggiat industri dan syarikat tempatan dalam pengkomersialan teknologi sawit yang diketengahkan oleh para penyelidik MPOB ini akan memacu kemajuan industri sawit dan kesejahteraan ekonomi negara.

 

Sehingga 2022 katanya, MPOB telah menawarkan 712 teknologi dan 194 perkhidmatan berkaitan dalam industri sawit dan sebanyak 233 teknologi atau 32.7% telah dikomersialkan oleh pihak yang terlibat dalam industri sawit dan usahawan. 

 

"Teknologi MPOB yang sedia untuk dikomersialkan meliputi pengeluaran bahan tanaman berkualiti, baka klon sawit, formulasi baja sawit, teknik kawalan penyakit dan serangga perosak, mekanisasi ladang, teknologi pengilangan dan pemprosesan, teknologi hijau, formulasi produk makanan dan makanan haiwan serta produk oleokimia berasaskan sawit," katanya ketika berucap merasmikan TOT MPON 2023, hari ini.

 

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pengerusi MPOB, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha.

 

Menurut Fadillah, penggunaan jentera ladang dan pemotong tandan sawit bermotor (CANTAS) yang dibangunkan oleh MPOB berupaya mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja. 

 

"Manakala, penggunaan baja formulasi MPOB yang mengandungi nutrien dan mineral lengkap meningkatkan kecekapan penyerapan nutrien oleh pokok sawit. 

 

"Pematuhan Amalan Pertanian Baik secara menyeluruh dalam industri sawit akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan kualiti minyak sawit," katanya.

 

Mohamad Helmy pula berkata, pihaknya turut melancarkan produk baharu hasil penyelidikan dan inovasi penyelidik MPOB di TOT 2023 iaitu baja MPOB F5 Improved dan Premium yang dikeluarkan oleh Briar Resources Sdn Bhd.

 

"MPOB F5 Improved dan Premium merupakan formulasi baja MPOB terkini yang mengambil kira keperluan amalan pertanian baik dan mengambil kira aspek kelestarian alam sekitar," katanya. - DagangNews.com