MPOB, Petronas bekerjasama teroka potensi produk sawit sebagai bahan api penerbangan mampan | DagangNews Skip to main content

MPOB, Petronas bekerjasama teroka potensi produk sawit sebagai bahan api penerbangan mampan

(Dari kiri) Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif, Perniagaan Hiliran Petronas, Datuk Sazali Hamzah; Naib Presiden Penapisan, Pemasaran dan Perdagangan, Perniagaan Hiliran Petronas, Ahmad Adly Alias; Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir dan Pengerusi MPOB, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 16 Ogos – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama untuk meneroka potensi produk berasaskan sawit sebagai bahan api penerbangan mampan (SAF) di Malaysia.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, MPOB berkata kedua-dua pihak akan mengkaji penggunaan produk berasaskan sawit iaitu minyak masak terpakai dan sisa buangan sawit di peringkat kilang seperti efluen kilang minyak sawit (POME) sebagai bahan mentah utama untuk kilang penapisan bio tempatan bagi menghasilkan SAF.

 

Jelasnya, MPOB dan Petronas akan bekerjasama bagi membangunkan rangka kerja termasuk kebolehkesanan minyak masak terpakai dan sisa buangan sawit.

 

Di samping itu, mereka mengatur strategi komunikasi, pendidikan dan kesedaran umum mengenai kepentingan penggunaan produk sawit berkenaan.

 

Tambahnya, pemeteraian MoU itu juga sejajar dengan Dasar Tenaga Negara 2022-2040 untuk mengurangkan pelepasan karbon dan menjadikan sektor tenaga sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi negara.

 

“Pengeluaran SAF dengan mengitar semula minyak masak terpakai dan sisa buangan sawit amat bertepatan dengan salah satu konsep Ekonomi Madani yang menggalakkan pertumbuhan teknologi hijau.

 

“Industri sawit adalah contoh kejayaan ekonomi pusingan yang berkonsepkan penghapusan bahan buangan, pengitaran semula produk dan pelestarian alam sekitar,” kata Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

 

Ahmad Parveez dan Naib Presiden Penapisan, Pemasaran dan Perdagangan, Perniagaan Hiliran Petronas, Ahmad Adly Alias telah menandatangani MoU tersebut pada 14 Ogos lalu.

 

Menurut MPOB, dalam rantaian industri sawit, di peringkat ladang menghasilkan bahan buangan seperti batang dan pelepah sawit yang diproses untuk dijadikan papan komposit dan makanan ternakan.

 

Sementara di peringkat kilang, tandan kosong diproses semula bagi menghasilkan serat pelbagai kegunaan dan tempurung sawit digunakan sebagaibahan bakar di kilang.

 

Selain itu, hampas isirung dijadikan makanan haiwan, efluen kilang minyak sawit (POME) pula menghasilkan baja dan ekstrak fenolik, manakala minyak keladak (sludge oil) boleh diproses untuk penghasilan biodiesel. - DagangNews.com