MPOB, Quanzhou perkukuh kerjasama galak pembangunan rantaian bekalan industri sawit | DagangNews Skip to main content

MPOB, Quanzhou perkukuh kerjasama galak pembangunan rantaian bekalan industri sawit

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Feb - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengukuhkan kerjasama dengan China dalam menggalakkan pembangunan rantaian bekalan untuk industri sawit negara dan industri makanan Fujian, serta perolehan minyak sawit.

 

Delegasi yang diketuai oleh Timbalan Datuk Bandar Quanzhou, Wang Zhihong mengadakan perbincangan dengan Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir semalam untuk mendapatkan minyak sawit bagi memenuhi permintaan China ketika kemuncak musim pengeluaran makanan pada suku ketiga tahun ini.

 

Ahmad Parveez berkata, MPOB telah membangunkan formulasi minyak sawit untuk aplikasi makanan terutamanya inovasi menggunakan minyak sawit merah, lemak sawit terstruktur dan tokotrienol sawit sebagai bahan untuk makanan ringan.

 

"Inovasi dan formulasi MPOB dapat menyokong pertumbuhan industri makanan ringan China yang semakin berkembang dan memerlukan minyak sawit berkualiti tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Wang pula berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan pengeluar dan peniaga minyak sawit Malaysia untuk memperluaskan rantaian perniagaan dan hubungan perdagangan dengan bandar Quanzhou. 

 

"Dengan mewujudkan persekitaran perniagaan bertaraf dunia dan bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan demi masa depan yang gemilang, kami komited untuk memberi perkhidmatan terbaik untuk pihak industri," katanya.

 

Berdasarkan Kastam China, wilayah Fujian mengimport sebanyak 530,000 tan minyak sawit pada 2021. 

 

 

MPOB
Wang Zhihong (kiri) mengadakan pertemuan dengan Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir di ibu pejabat MPOB pada 16 Februari 2023. - Gambar Facebook MPOB

 

 

Penggunaan minyak sawit di Quanzhou dijangka terus berkembang pada 2023 berikutan pemansuhan langkah COVID-19 dan kepesatan pembangunan ekonomi di China.

 

Semasa mesyuarat delegasi, Dewan Perniagaan bagi Pengeluar Makanan Fujian dan Erapoly Global Sdn Bhd bertukar surat hasrat bagi perdagangan minyak sawit disaksikan oleh Ahmad Parveez dan Wang.

 

 

mpob

 

 

mpob

 

 

China sentiasa mendapatkan bekalan produk sawitnya dari Malaysia. Statistik menunjukkan bahawa eksport produk sawit Malaysia ke China telah meningkat tiga kali ganda daripada 1.02 juta tan pada tahun 2000 kepada 3.14 juta tan pada tahun 2022. 

 

Pertemuan dengan delegasi China dari Quanzhou telah mengukuhkan hubungan perniagaan Malaysia dengan China khususnya dalam perdagangan minyak sawit yang membawa manfaat bersama untuk kedua-dua ekonomi. - DagangNews.com