MPOC optimis terhadap prospek minyak sawit pada 2024, jangka didagangkan pada purata RM4,000 bagi setiap tan | DagangNews Skip to main content

MPOC optimis terhadap prospek minyak sawit pada 2024, jangka didagangkan pada purata RM4,000 bagi setiap tan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Jan - Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) oprimis terhadap prospek minyak sawit tahun ini dan menjangkakan ia didagangkan pada harga RM4,000 bagi setiap tan.

 

Unjuran positif itu katanya, berpunca daripada perubahan dinamik penawaran dan permintaan di Indonesia berikutan pelaksanaan B35 (35% bahan api bio berasaskan minyak sawit dan 65% diesel) pada Ogos 2023.

 

MPOC meramalkan defisit sebanyak 240,000 tan bekalan minyak sawit Indonesia kerana penggunaan domestik untuk biodiesel dan makanan dijangka meningkat sebanyak 640,000 tan tanpa jangkaan pertumbuhan dalam pengeluaran.

 

"Defisit itu akan berkembang lagi jika eksport melebihi paras yang diramalkan, MPOC," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, MPOC berkata stok minyak sawit Malaysia susut 4.64% kepada 2.29 juta tan pada Disember 2023, mencapai paras terendah dalam tiga bulan, seiring dengan trend pengeluaran minyak sawit.

 

Katanya, permulaan El Nino telah meningkatkan pengeluaran minyak sawit Malaysia pada suku keempat 2023.

 

MPOC berkata, pengeluaran minyak sawit pada suku keempat 2023 melonjak ke paras tertinggi sejak 2018, meningkat sebanyak 160,000 tan metrik kepada 5.27 juta tan metrik berbanding 5.11 juta tan metrik, berbanding tempoh yang sama pada 2022.

 

“Trend pengeluaran pada suku keempat 2023 dijangka berterusan sehingga suku pertama 2024.

 

"Pengeluaran minyak sawit Malaysia diunjurkan mencatatkan pertumbuhan 1% pada 2024, mencecah 18.75 juta tan," katanya.

 

Walaupun optimis terhadap harga minyak sawit pada tahun ini, MPOC berkata, harga minyak sawit dijangka diniagakan lebih rendah pada Januari, antara RM3,600 dan RM3,850, disebabkan oleh permintaan perlahan daripada negara pengimport utama selain saingan harga daripada minyak bunga matahari dan minyak biji sawi.

 

"Pada Disember, harga premium minyak bunga matahari dan minyak biji sawi berbanding minyak sawit di pasaran Eropah masing-masing hanya AS$3 dan AS$39, berikutan penghancuran biji bunga matahari dan biji sawi yang luar biasa tinggi dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

 

"Januari dan Februari adalah bulan eksport rendah bermusim di Malaysia, dengan eksport pada Januari dan Februari 2023 masing-masing pada 1.13 juta dan 1.12 juta tan," katanya. - DagangNews.com