MQ Tech beli tanah di Melaka pada harga RM19.5 juta, bangunkan projek hartanah | DagangNews Skip to main content

MQ Tech beli tanah di Melaka pada harga RM19.5 juta, bangunkan projek hartanah

KUALA LUMPUR 27 Jan - MQ Technology Bhd (MQ Tech) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Star Acres Sdn Bhd (SASB) memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan Cash Support Sdn Bhd (CSSB) untuk mengambil alih sebahagian tanah pegangan pajakan di Klebang, Melaka bernilai kira-kira RM19.5 juta.

 

Tanah seluas 2.89 hektar itu terletak 10 kilometer di barat laut pusat bandar Melaka, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia semalam.

 

Apabila selesai langkah tersebut, syarikat mahu melaksanakan pembangunan hartanah dua blok suite servis 27 tingkat dengan jumlah 1,000 unit dan 80 unit lot kedai.

 

"Nilai pembangunan kasar (GDV) serta kos pembangunan kasar (GDC) bagi cadangan pembangunan masing-masing dianggarkan sebanyak RM275 juta dan RM200 juta, dengan potensi keuntungan pembangunan kasar mampu mencecah RM75 juta," katanya.

 

Pelan pembangunan termasuk permohonan tambahan yang dicadangkan itu disasarkan untuk dikemukakan kepada pihak berkuasa berkaitan selepas selesai cadangan pengambilalihan, yang dijangka selesai menjelang suku ketiga 2023.

 

Menurut MQ Tech, cadangan pembangunan dijangka bermula pada suku pertama 2025 dan akan selesai dalam tempoh tiga tahun daripada tarikh permulaan.

 

Sementara itu, kumpulan, yang pada dasarnya terlibat dalam pegangan pelaburan dan pembuatan mencadangkan kepelbagaian bagi menceburi perniagaan hartanah berikutan pemerolehan tanah itu.

 

"Kepelbagaian yang dicadangkan membolehkan MQ Tech meneroka perniagaan hartanah, yang merupakan industri yang mempunyai permintaan yang boleh diramalkan serta prospek positif.

 

"Selain itu, kepelbagaian ini membolehkan MQ Tech mempunyai aliran pendapatan baharu untuk meningkatkan prestasi kewangannya selain mengurangkan pergantungan kepada perniagaan pembuatan sedia ada," jelasnya.

 

Syarikat itu juga mencadangkan penggunaan kepelbagaian dalam hasil yang akan dikumpulkan daripada skim terbitan saham sehingga 30% daripada jumlah saham terbitan MQ Tech pada kira-kira RM4.37 juta. - DagangNews.com