SINGAPURA 1 Okt. - Mr DIY Group dilaporkan sedang berunding dengan Aberdeen Standard Investments dan BlackRock Inc untuk menjadi pelabur utama di dalam tawaran awam permulaan (IPO), yang mungkin menjadi terbesar di Malaysia bagi tempoh lebih daripada tiga tahun kebelakangan ini.
Selain itu, AIA Group Ltd juga terlibat dalam rundingan untuk membeli syer di dalam jualan saham sulung perunti penambahbaikan rumah terbesar di Malaysia itu, lapor Bloomberg dan The Edge Market hari ini.
Mr DIY merancang untuk memfailkan prospektus rasmi seawal minggu hadapan dan menetapkan harga IPO pada RM1.60 satu, kata sumber. Penawaran itu bakal menjana kira-kira RM1.5 bilion berasaskan bilangan saham di dalam draf prospektusnya.
Syarikat itu juga merancang untuk secara rasmi mengesahkan pelabur utama seawal minggu depan, dengan rundingan giat dilakukan sekarang dan mungkin senarai calon pelabur tersebut boleh berubah.
Wakil-wakil jurucakap bagi Aberdeen Standard, AIA Group, BlackRock, dan Mr DIY enggan mengulas.
Mr DIY kembali mencatat jualan yang baik pada Mei, Jun dan Julai selepas kerajaan melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan pandemik COVID-19 demi untuk memulihkan ekonomi negara.
Pada As$362 juta, jualan saham Mr DIY akan menjadi IPO terbesar di Malaysia sejak Lotte Chemical Titan Holding Bhd menjana As$849 juta pada 2017, menurut data yang dikumpul oleh Bloomberg. Urus niaga ini pastinya akan melonjakkan pasaran modal ekuiti negara, yang setakat ini hanya menyaksikan IPO bernilai AS$96.5 juta, menjadikannya tahun paling lemah dalam tempoh sedekad.
Mr DIY, disokong oleh firma ekuiti swasta Creador, membuka kedai pertama di Malaysia pada 2005 dan kini mengendalikan lebih daripada 622 kedai di seluruh negara. Syarikat ini menjual lebih 16,600 jenis produk di dalam 10 kategori termasuk kemasan rumah, aksesori komputer dan gajet, perkakasan, pertukangan dan alat permainan. Mr DIY juga menjalin hubungan niaga dengan Tesco plc dan AEON Co. - DagangNews.com