MR. D.I.Y. muncul rakan penaja baharu Zoo Negara dengan sumbangan lebih RM400,000 | DagangNews Skip to main content

MR. D.I.Y. muncul rakan penaja baharu Zoo Negara dengan sumbangan lebih RM400,000

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 April - MR. D.I.Y. Group (M) Berhad muncul sebagai penaja terbaharu Zoo Negara selepas menyerahkan sumbangan selama dua tahun bernilai RM408,288 sebagai sebahagian daripada penajaan untuk tiga haiwan angkat.

 

Sumbangan menerusi inisiatif #DIY4ZooNegara itu adalah untuk penajaan dua ekor zirafah bernama Tilly dan Gerald serta Harimau Malaya bernama Jagoh.

 

Selain itu, dana yang disalurkan itu turut digunakan untuk memperbaiki dan menyelenggara kemudahan zoo, termasuk menaik taraf bumbung dan lantai terowong untuk ke kandang harimau, serta membina gazebo untuk kegunaan pengunjung. 

 

MR D.I.Y. juga turut menyumbangkan peralatan, kelengkapan, pakaian seragam dan pelitup muka edisi khas untuk 300 kakitangan Zoo Negara.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MR D.I.Y., Adrian Ong berkata, rakyat Malaysia mempunyai kenangan menarik semasa mengunjungi Zoo Negara semasa zaman kanak-kanak mereka dan ia merupakan mercu tanda ikonik untuk beberapa generasi. 

 

"Kunjungan ke zoo membantu mempromosi serta memupuk penghargaan terhadap kepelbagaian dan kepentingan ekosistem negara yang mampan. 

 

"Inisiatif #DIY4ZooNegara telah membantu memastikan generasi masa kini dan akan datang supaya dapat terus menikmati pengalaman yang sama.” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

zoo

 

Adrian berkata, sebelum ini, MR D.I.Y. menjalankan sebuah undian di Facebook dengan menjemput rakyat Malaysia untuk memberi nama kegemaran mereka kepada haiwan-haiwan angkatnya dan mereka telah memilih untuk menamakan dua zirafah tersebut sebagai Tilly dan Gerald, manakala harimau jantan itu diberi nama Jagoh.

 

“Pengambilan Tilly, Gerald, dan Jagoh sebagai haiwan angkat, serta sumbangan untuk kelengkapan, peralatan, uniform dan pelitup muka telah membantu memastikan Zoo Negara kekal sebagai sebuah lokasi tarikan yang menggembirakan pengunjung serta kakitangannya. 

 

"Kami juga berharap usaha ini akan memberi inspirasi kepada lebih banyak syarikat korporat untuk mencari cara bagi menambah nilai kepada tempat-tempat tarikan yang ikonik di negara kita," katanya. - DagangNews.com