MRECA bantah larangan penjualan vape - jejaskan lebih 3,000 usahawan vape | DagangNews Skip to main content

MRECA bantah larangan penjualan vape - jejaskan lebih 3,000 usahawan vape

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 19 Julai - Keputusan Kerajaan untuk menyamakan vape dan rokok dalam melarang penjualan kepada sesiapa yang dilahirkan selepas 2005 adalah tidak adil kerana rokok dan vape adalah dua industri dan produk yang berlainan.

 

Persatuan Rokok Elektronik Runcit Malaysia (MRECA) membantah keputusan ini kerana ia akan menjejaskan industri tempatan yang terdiri daripada lebih 3,000 usahawan vape tempatan yang rata-ratanya terdiri daripada usahawan Bumiputera.

 

Presiden MRECA, Datuk Adzwan Ab Manas berkata, industri vape tempatan mempunyai daya saing yang mampu membawa Malaysia ke peringkat global.

 

Menurutnya, banyak produk buatan Malaysia telah memasuki pasaran global dan jutaan ringgit telah dilaburkan pengusaha tempatan demi pembangunan industri ini.

 

Katanya, keputusan ini akan memberikan tamparan yang besar kepada industri tempatan serta tenaga kerja yang merangkumi lebih daripada 15,000 pekerja.

 

“Industri mohon agar Kerajaan akan mengkaji semula keputusan ini dan memohon agar Ahli Parlimen membela nasib industri vape tempatan ini apabila draf Akta tersebut dibentangkan di Parlimen,” katanya dalam kenyataan di sini.

 

Kenyataan MRECA ini adalah reaksi terhadap keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memperkenalkan akta baharu yang akan dibentang pada sesi Parlimen pada bulan Julai 2022.

 

Adzwan berkata, rokok dan vape adalah produk yang berbeza. Rokok diperbuat daripada daun tembakau melibatkan pembakaran yang mengeluarkan asap dari bahan-bahan toksik yang jelas berbahaya.


 

Datuk Adzwan Ab Manas
                                                    Datuk Adzwan Ab Manas

 

 

“Vape pula adalah produk pemanasan cecair bagi menghasilkan wap air yang terdiri daripada Vegetable Glycerin (VG), Propylene Glycol (PG), perisa dan nikotin.

 

“Pengguna dan pihak umum harus didedahkan dengan maklumat yang betul bahawa kemudaratan rokok dan vape adalah berbeza sama sekali dan peraturannya juga harus berbeza,” katanya. – DagangNews.com