MSM cadang harga jualan gula dinaikkan RM1 kepada RM3.85 sekilogram | DagangNews Skip to main content

MSM cadang harga jualan gula dinaikkan RM1 kepada RM3.85 sekilogram

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

PASIR GUDANG 16 Jan - MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) mencadangkan harga jualan gula untuk bungkusan sekilogram dinaikkan kepada RM3.85 berbanding harga jualan RM2.85 yang ditetapkan ketika ini.

 

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MSM, Hasni Ahmad berkata, perkara itu perlu diberikan pertimbangan kerana kos operasi meningkat termasuk harga bahan mentah, pengangkutan, gas asli dan juga nilai ringgit yang tidak stabil.

 

Katanya, pada ketika ini pihaknya sedang beroperasi dalam kerugian bagi penjualan gula pek sekilogram.

 

"Cadangan ini sudah dikemukakan kepada kerajaan agar harga gula dinaikkan RM1 bagi bungkusan sekilogram. 

 

gula

 

"Langkah ini perlu dibuat kerana kos pengeluaran sudah tidak boleh dikawal atas beberapa faktor antaranya krisis geopolitik, perang di Asia Barat dan pelbagai faktor lain.

 

"Kami sedang menunggu maklum balas daripada pihak kerajaan berhubung perkara ini," katanya dalam sidang akhbar sempena program lawatan media ke MSM Johor, hari ini.

 

Sementara itu, Hasni menegaskan bahawa rancangan mereka untuk mengeksport gula ke pasaran Singapura pada suku pertama atau suku kedua tahun ini tidak akan menjejaskan bekalan gula dalam pasaran tempatan.

 

"Tidak perlu bimbang kerana eksport gula tidak beri impak kepada pasaran tempatan," katanya.

 

Dalam pada itu, beliau turut meminta kerajaan memberikan penekanan terhadap usaha keselamatan makanan khususnya melibatkan produk gula kerana ia merupakan satu keperluan asas rakyat negara ini.

 

"Kita perlu mempunyai sumber gula mentah sendiri, antara cadangan termasuklah mewujudkan ladang tebu sendiri dalam memastikan bekalan stabil untuk jangka masa panjang. - DagangNews.com