Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 Jan - CGS-CIMB Research mengulangi saranan 'kurang' terhadap saham Muhibbah Engineering (M) Bhd. dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada 58 sen berbanding 71 sen sebelum ini.
Penilaian itu dibuat setelah mengambil kira faktor daripada terbitan saham dan pengumpulan hasil sehingga RM128.46 juta.
Penganalisisnya, Sharizan Rosely berkata, dengan kedudukan kunci kira-kira yang kukuh selepas terbitan hak itu, kumpulan pada landasan yang lebih baik untuk melaksanakan pengembangan.
Katanya, ia termasuklah langkah pengambilalihan dan penggabungan (M&A) yang kini sedang diterokai kumpulan.
"Di samping itu, terbitan hak ini adalah satu kejutan yang negatif kerana kami menganggarkan potensi kecairan antara 31 hingga 33% bagi pendapatan sesaham (EPS) untuk tahun kewangan 2022 (FY22) hingga FY23.
"Dengan peruntukan sebanyak RM96.69 juta atau 75% daripada hasil itu akan digunakan untuk mengurangkan hutang dan menjimatkan faedah sebanyak RM3 juta setahun, ia akan meningkatkan unjuran untung bersih kami bagi FY22-FY23 sebanyak 6-10%," katanya dalam nota kajian pada Selasa.
Baca : Muhibbah Engineering jangka raih hasil sehingga RM128 juta daripada cadangan terbitan hak
Dalam makluman di Bursa Malaysia pada Isnin, Muhibbah Engineering bercadang melaksanakan terbitan hak boleh lepas sehingga 256.91 juta saham hak bagi asas satu saham hak bagi setiap dua saham sedia ada yang dipegang syarikat pada tarikh kelayakan yang akan ditentukan dan diumumkan kelak.
Syarikat kejuruteraan minyak dan gas itu menyasarkan untuk meraih hasil antara RM25.13 juta dan RM128.46 juta daripada terbitan hak tersebut.
Berdasarkan kepada harga terbitan indikatif 50 sen bagi setiap saham hak, syarikat itu bercadang memperuntukkan sehingga kira-kira RM96.69 juta daripada hasil kasar bagi pembayaran semula sebahagian daripada kemudahan kredit pusingan kumpulan tidak termasuk anak syarikat 58.6% milik syarikat, Favelle Favco Bhd dan kumpulan syarikatnya.
Sebanyak RM30.87 juta akan digunakan bagi keperluan modal kerja am dan kira-kira RM900,000 untuk membiayai anggaran perbelanjaan berkaitan dengan cadangan terbitan hak saham.
Menurutnya, pihaknya percaya langkah itu mencukupi untuk menangani kekangan kewangan semasa syarikat, dan akan membantu meningkatkan kedudukan kewangan dalam membolehkannya memperuntukkan lebih banyak wang untuk tujuan mengembangkan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.
CGS-CIMB berkata, harga terbitan indikatif itu dilihat menarik kerana ia adalah 19.4% diskaun daripada harga penutupan terakhir pada 62 sen (saham Muhibbah Engineering merosot 27% atau 23 sen pada 10 Januari lalu berikutan laporan mengenai terbitan hak). - DagangNews.com