MyCC kesan pakatan tipu bida tender kerajaan bernilai RM473 juta, 8 kontraktor berdepan kemungkinan denda | DagangNews Skip to main content

MyCC kesan pakatan tipu bida tender kerajaan bernilai RM473 juta, 8 kontraktor berdepan kemungkinan denda

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 23 April - Lapan syarikat kontraktor berdepan denda daripada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sekiranya didapati terlibat dalam penipuan bida tiga tender jabatan kerajaan bernilai kira-kira RM473 juta lima tahun lalu.

 

Menurut MyCC, tender berkenaan untuk kerja-kerja pembinaan jalan dan sistem tebatan banjir yang dikeluarkan pada 2019 dengan dua daripadanya oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan satu lagi oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

 

Syarikat terlibat ialah Dutamesra Bina Sdn. Bhd., IDX Multi Resources Sdn. Bhd., Mangkubumi Sdn. Bhd., Menang Idaman Sdn. Bhd., Meranti Budiman Sdn. Bhd. Pintas Utama Sdn. Bhd., NYL Corporation Sdn. Bhd. dan Kiara Kilat Sdn. Bhd. 

 

Pengerusi MyCC, Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus berkata, Keputusan Cadangan terhadap lapan kontraktor berkenaan kerana melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (CA2010) telah diputuskan pada 16 April 2024 dan dimaklumkan kepada semua terbabit semalam.

 

 

 

"Enam perusahaan iaitu, Dutamesra Bina, IDX Multi Resources, Mangkubumi, Menang Idaman, Meranti Budiman dan Pintas Utama telah berpakat dalam kesemua tiga tender tersebut. 

 

"NYL Corporation pula terlibat di dalam kedua-dua tender JKR manakala Kiara Kilat Sdn. Bhd. hanya terlibat dalam salah satu daripada dua tender JKR," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Berdasar semakan di laman web MyCC, tipuan bida atau bid rigging merupakan perjanjian (bertulis atau lisan) antara pembida yang boleh menghalang atau menyekat persaingan dalam aktiviti tender. Tipuan bida boleh berlaku apabila dua atau lebih pembida di dalam sesuatu bidaan (tender) berpakat bagi menentukan pemenang bidaan tersebut.

 

 

mycc
Pengerusi MyCC, Datuk Seri Hishamudin Yunus

 

 

Menurut Hishamudin, penyiasatan mendapati pada peringkat Keputusan Cadangan bahawa perusahaan-perusahaan ini telah berpakat melakukan aktiviti tipuan bida melalui perkongsian maklumat serta koordinasi dalam penyertaan tender tersebut. 

 

"Perlu ditekankan di sini bahawa penemuan MyCC melalui Keputusan Cadangan adalah dapatan awal, maka tidak boleh diandaikan bahawa mana-mana perusahaan telah melanggar Akta Persaingan 2010 pada peringkat ini. 

 

"Seperti yang diperuntukkan dalam Akta, perusahaan-perusahaan ini juga telah dimaklumkan mengenai penalti kewangan yang dicadangkan. 

 

"Perusahaan-perusahaan terbabit juga diberi peluang untuk mengemukakan representasi bertulis dalam tempoh 30 hari selepas menerima Keputusan Cadangan," jelasnya.

 

Kata beliau, setelah itu, perusahaan-perusahaan ini boleh memilih untuk membentangkan representasi lisan kepada Suruhanjaya pada tarikh yang akan ditentukan kelak. 

 

"MyCC hanya akan mengeluarkan Keputusan Akhirnya selepas mempertimbangkan representasi oleh perusahaan-perusahaan bersama-sama bukti yang diperolehi daripada penyiasatan berkaitan," tegasnya. - DagangNews.com