MYEG jalin kerjasama dengan China Customs, sedia khidmat perdagangan rentas sempadan | DagangNews Skip to main content

MYEG jalin kerjasama dengan China Customs, sedia khidmat perdagangan rentas sempadan

KUALA LUMPUR 31 Mac - MY E.G. Services Bhd (MYEG) menjalin kerjasama dengan agensi milik penuh China Customs, East Logistic-Link Co Ltd untuk menyediakan secara bersama perkhidmatan pemudahan perdagangan rentas lengkap yang termasuk sijil asal pada platform blockchain Zetrix.

 

Menerusi perjanjian kerjasama kedua-dua pihak itu, sijil lain yang berkaitan dengan perdagangan rentas sempadan seperti jaminan makanan, kuarantin dan dokumen kargo juga boleh dikeluarkan di platform blockchain tersebut.

 

MYEG menerusi platform blockchain Zetrix, menyediakan perkhidmatan digital untuk menghubung ke platform blockchain China dan kerjasama itu turut merangkumi eksport antarabangsa ke China.

 

"Ini akan membolehkan semua data dalam sijil ini tersedia dengan tepat dalam hampir masa nyata, dan oleh itu, meningkatkan kecekapan pengiraan tarif dan pemeriksaan kastam, terutamanya untuk perdagangan dalam Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP),” kata MYEG dalam satu kenyataan.

 

MYEG berkata, dengan perkembangan itu, pengeksport seluruh dunia kini boleh mendaftar untuk menggunakan perkhidmatan tersebut yang dikenali sebagai Ztrade di Zetrix.com sekali gus menikmati manfaat proses pemeriksaan kastam yang lebih pantas dan mudah. 

 

MYEG berkata dengan memanfaatkan teknologi Web 3, perkhidmatan Ztrade boleh mengatasi batasan lazim seni bina teknologi konvensional dalam menyediakan kaedah yang boleh dipercayai bagi mendigitalkan pemprosesan pemeriksaan perdagangan secara selamat dan berkesan, sekali gus menjadikannya lebih lancar, pantas dan mudah secara keseluruhannya.

 

Ztrade juga akan menyokong perkhidmatan pemudahan perdagangan pelengkap seperti pembiayaan rantaian bekalan dan instrumen kewangan digital serta penyelesaian pembayaran, katanya.

 

Sementara itu, Naib pengurus besar East Logistics-Link Haiying Zhao berkata, dengan data perdagangan yang relevan di blockchain itu, agensi tersebut boleh menjangkakan pemprosesan perdagangan yang lebih pantas dan cekap yang mampu memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan. - DagangNews.com