MYStartup lancar Program Pre-Accelerator kohort terbaharu, sasar bantu sehingga 30 syarikat pemula | DagangNews Skip to main content

MYStartup lancar Program Pre-Accelerator kohort terbaharu, sasar bantu sehingga 30 syarikat pemula

MyStartup melancarkan program Pre-Accelerator terbaharu yang menawarkan sokongan dan bimbingan kepada syarikat pemula yang baru ditubuhkan./Gambar Marvin Meyer
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 29 Jan - MYStartup melancarkan Program Pre-Accelerator terbaharu yang menawarkan sokongan dan bimbingan kepada syarikat pemula yang baru ditubuhkan.

 

Program ini menawarkan platform yang direka khusus kepada syarikat pemula untuk menukar idea inovatif kepada satu bentuk pulangan yang menguntungkan kepada syarikat.

 

Selain menawarkan latihan lengkap selama empat bulan, para peserta turut didedahkan dengan rangkaian mentor, hab inovasi dan pasaran.

 

Ketua  MYStartup Malaysia, Mohd Noor Hisham berkata, program Pre-Accelerator MYStartup pada kohort sebelum ini terbukti menjadi platform yang baik untuk memupuk syarikat pemula dalam ekosistem inovasi.

 

Menurut beliau, beberapa syarikat pemula pada kohort pertama telah memperoleh geran dan pelaburan sehingga RM1 juta dengan potensi jualan sehingga RM500,000. 

 

"Kisah kejayaan termasuk Certiify, yang membangunkan keselamatan blockchain untuk pensijilan akademik oleh universiti awam dan Acxyn, yang membangunkan permainan Web3 dan menyediakan pemaju platform untuk mencari pendapatan alternatif melalui paten permainan mereka.

 

"Selain itu, melalui sokongan pasca program, kami memperkasakan syarikat pemula untuk terus berhubung dan belajar daripada pakar industri dan bakal pelabur.

 

"Matlamat utama kami untuk kohort baharu ini adalah untuk memupuk ekosistem yang inklusif dan mampan dengan mengembangkan idea global dan inovasi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Sebanyak 30 syarikat pemula terpilih akan mengambil bahagian dalam program ini dari peringkat awal sehingga pembangunan dan pertumbuhan.

 

Inisiatif ini dibawa oleh Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) dan Cradle Fund Sdn Bhd dengan kerjasama Growth Charger.- DagangNews.com