IPOH 5 Julai - Syarikat pemaju hartanah, Mysuccess Land Sdn. Bhd. (Mysuccess Land) menyumbangkan peralatan A-Scan Machine dan Handheld AutoRef Keratometer kepada Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
Peralatan bernilai RM95,000 ini bagi kegunaan Klinik Oftalmologi HRPB.
Jabatan Oftalmologi merupakan pusat rujukan untuk kes mata dari kawasan Ipoh dan Lembah Kinta serta pusat rujukan hospital-hospital lain di seluruh negeri Perak.
Ia juga merupakan pusat rujukan bagi kes-kes penyakit glaukoma dan vitreoretina.
Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris A’fifullah Shah telah berkenan bercemar duli berangkat bagi menyempurnakan penyampaian sumbangan tersebut.
Majlis penyerahan diadakan di Dewan Azlan Shah, Majlis Bandaraya Ipoh pagi tadi.
Hadir sama Datuk Bandar lpoh, Dato’ Rumaizi bin Baharin; Pengarah Urusan Mysuccess Land Sdn. Bhd., Heong Seng Loon dan Pengarah Kesihatan negeri Perak, Dr. Sirajuddin Hashim.
Mysuccess Land Sdn. Bhd. adalah syarikat pemaju tempatan yang membangun dan memajukan perbandaran Bandar Baru Lahat, Eco-City, lpoh.
la juga merupakan projek swasta kos rendah dan kos sederhana yang terbesar di Ipoh sejak 15 tahun dahulu.
Sementara itu, Seng Loon memberitahu, sumbangan tersebut adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat pihaknya kepada masyarakat.
"Sumbangan peralatan perubatan ini juga dapat memudahkan urusan pemeriksaan dan rawatan pesakit yang mendapatkan rawatan di Klinik Oftalmologi HRPB," ujarnya. - DagangNews.com