Nahas helikopter TLDM, industri aeroangkasa negara kehilangan sumber manusia | DagangNews Skip to main content

Nahas helikopter TLDM, industri aeroangkasa negara kehilangan sumber manusia

Keadaan helikopter HOM AW139 yang terhempas dalam nahas di Pangkalan TLDM Lumut semalam.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 24 April - Nahas udara membabitkan dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pangkalan Lumut semalam sangat mendukacitakan negara apabila kehilangan wira-wira yang tiada galang ganti.

 

Pada aspek lain pula, TLDM khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kehilangan sumber tenaga manusia yang terlatih dan berkemahiran dalam tugas masing-masing.

 

Kesemua yang terkorban rata-ratanya telah berkhidmat antara tempoh 8 hingga 20 tahun iaitu satu jangkamasa yang dianggap matang bagi perkhidmatan tentera.

 

Dalam nahas berkenaan, dua pegawai memerintah (CO) Skuadron Helikopter TLDM antara 10 yang terkorban.

 

 

Helikopter
10 pegawai dan kru TLDM yang terlibat dalam nahas udara di Lumut.

 

Komander (Kdr) Muhammad Firdaus Ramli merupakan CO Skuadron 503 (AW139) manakala Kdr Muhamad Amir Mohamad CO Skuadron 502 (AS555SN Fennec).

 

CO skuadron merupakan ketua, pengemudi, juruterbang dan perancang utama pasukan yang mana TLDM melantik hanya individu berkelayakan untuk menggalas tanggungjawab itu.

 

Menjadi CO skuadron memerlukan individu tersebut mengikuti banyak latihan kemahiran, operasi, kursus kepakaran serta melanjutkan pengajian dalam bidang ketenteraan yang sepadan.

 

Skuadron 502 merupakan skuadron latihan yang berpangkalan di Lumut manakala Skuadron 503 pula lebih spesifik dalam penugasan operasi udara maritim.

 

Skuadron 503 baharu ditubuhkan tiga tahun lalu apabila TLDM membeli Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW139.

 

Helikopter
Menteri Pertahanan, Dato' Seri Mohamad Khaled Nordin semasa melawat lokasi nahas.

 

Helikopter

 

Pesawat ini diguna bagi melaksanakan rondaan di Laut China Selatan, menjejak sasaran, operasi mencari dan menyelamat selain membantu agensi keselamatan termasuk cegah jenayah rentas sempadan maritim.

 

Dua mangsa berpangkat Leftenan Komander (Lt Kdr) iaitu Lt Kdr Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin dan Lt Kdr Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi serta seorang Leftenan, Sivasutan Thanjappan.

 

Wan Rezaudeen Kamal dan Sivasutan adalah juruterbang manakala Mohammad Amirulfaris adalah pegawai taktikal udara.

 

Mangsa lain ialah tiga Pegawai Waran II iaitu TLR Muhammad Faisol Tamadun; TNL Noorfarahimi Mohd Saedy dan TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi serta Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar dan LK I JJM Joanna Felicia anak Rohna.

 

Semasa nahas, helikopter AS555SN Fennec dinaiki tiga kru manakala HOM AW139 tujuh.

 

Helikopter
Helikopter AS555SN Fennec.

 

Helikopter
HOM AW139.

 

Dengan latar belakang tugas dalam operasi udara, mereka ini juga yang bakal mencurahkan kembali kemahiran apabila menyertai perkhidmatan swasta setelah bersara kelak.

 

Menjadi kebiasaan pada pesara atau bekas juruterbang tentera termasuk kru teknikal meneruskan kerjaya mereka bersama sektor aeroangkasa swasta.

 

Ini kerana kemahiran dan pengalaman mereka sangatlah diperlukan industri terutamanya sebagai juruterbang atau juruperunding.

 

Ramai dalam kalangan bekas juruterbang tentera khususnya TUDM menjadi rebutan syarikat penerbangan komersial selain diambil sebagai jurulatih di sekolah latihan penerbangan.

 

 

Helikopter

 

Bagi mereka yang menceburi bidang korporat pula, pengetahuan dan pengalaman yang ada semasa menjadi tentera digembleng kembali bagi kegunaan industri diceburi.

 

Bermakna, nahas yang berlaku telah menghilangkan potensi besar sumber tenaga manusia untuk industri aeroangkasa negara. - DagangNews.com