Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun, denda RM210j | DagangNews Skip to main content

Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun, denda RM210j

Najib

KUALA LUMPUR 28 Julai - Selepas disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC International Sdn. Bhd. yang berjumlah RM42 juta pagi tadi, bekas Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun berserta denda RM210 juta. 

Keputusan dibuat hakim yang sama Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali selepas pihak pembelaan gagal membuat pembuktian kes dengan keraguan munasabah.

Bekas Perdana Menteri itu didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan penyalahgunaan kuasa membabitkan dana SRC yang merupakan bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Terdahulu, pihak mahkamah menolak rayuan yang dibuat ketua pembelaan yang mewakili Najib agar rayuan sebelum dijatuhkan hukuman didengar pada Isnin.

Rayuan tersebut ditolak selepas dibantah  Timbalan Pendakwa Raya Kanan, V Sithambaram kerana tidak mempunyai alasan kukuh untuk berbuat demikian.

Perbicaraan kes tersebut bermula pada 3 April 2019 dengan pendakwaan memanggil 57 saksi sebelum menutup kesnya pada 27 Ogos tahun sama.

Pada 11 November 2019, Najib diarahkan membela diri atas kesemua pertuduhan selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes ‘prima facie’ terhadapnya.

Pada 3 Disember 2019, Najib memberi keterangan sebagai saksi pertama pembelaan untuk menjawab pertuduhan terhadapnya dengan membaca penyataan saksi setebal 243 muka surat.

Pada 5 Jun lalu pula, mahkamah menetapkan hari ini untuk mengumumkan keputusan dalam kes itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak di akhir kes pembelaan yang bermula pada 1 Jun.

Najib pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 Julai 2018 atas tiga pertuduhan CBT dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Seterusnya pada 8 Ogos 2018, Najib sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama. - DagangNews.com